Boleh rentas negeri

- Advertisement -

KALAU kita tengok media sosial mutakhir ini, isu rentas negeri dimainkan. Sebelum saya ulas, saya minta yang nak komen, kita guna hujah, jangan guna emosi. Kalau guna emosi, saya setuju, anda betul, sebab memang emosi itu tak pernah kalah bagi mereka yang mengikutinya. Emosi itu nafsu.

Isu rentas negeri sebenarnya dibenarkan. Saya ulang dibenarkan. Cuma dengan kebenaran polis. Masalah kita, kita kata tak dibenarkan, tetapi boleh kalau polis benarkan.

- Advertisement -

Saya nak guna bahasa lain. Rentas negeri dibenarkan jika dapat kebenaran polis. Memang itu realiti yang berlaku. Tak kira siapa, bangsawan atau karyawan, sasterawan atau cendekiawan. Yang pasti tak dibenarkan ialah banduan. Itupun banduan yang diampunkan tetap dibenarkan. Lagi satu siapa sahaja yang tinggal di Mambang Diawan juga boleh rentas negeri jika dapat kebenaran polis.

Rakyat dimainkan emosi kononnya golongan bangsawan bebas. Hanya marhaen saja yang terikat peraturan. Sebenarnya peraturan tetap dikuatkuasakan, cuma kaedah berbeza. Mengikut prosedur yang ada.

Saya tak terfikir bagaimana sebuah akhbar seperti Sinar Harian juga boleh terjebak. Walaupun mengambil ulasan netizen, namun ia sesuatu yang kurang wajar. Mereka boleh terlebih dahulu merujuk individu terbabit demi menjaga kredibiliti akhbar. Jangan nanti Sinar Harian dilihat setaraf Malaysiakini dan portal sampah lain.

Isu Neelofa yang hangat dijadikan contoh kononnya double standard telah senyap apabila polis selesai jalankan siasatan dan dikenakan hukuman RM60 ribu. Tiada lagi perbandingan dengan penjual burger apabila didedahkan kedegilannya berniaga hingga larut malam dan pernah dikenakan kompaun. Menteri juga telah bersuara mengenai prosedur kompaun.

Isu pelajar matrikulasi juga selesai apabila YB Akmal sebagai Exco Kesihatan berbincang mencari penyelesaian terbaik. Pelajar dapat pengajaran mengenai pentingnya pematuhan SOP, dalam masa yang sama mereka diberi kelonggaran dan pelepasan dari kompaun. 

Jika kita melihat carta dan perkembangan COVID-19 serta apa yang berlaku di beberapa negara luar, kita akan sedar betapa pematuhan dan penguatkuasaan itu sangat perlu. Peperangan kita masih belum berakhir.

Ketegasan kerajaan sangat perlu atas dasar tanggungjawab. Jangan dikira nafsu dan selera pembangkang yang menggila setelah kehilangan kuasa. Lihat sahaja serangan kepada Kelantan apabila menyekat Bazar Ramadan.

Kerajaan diserang atas dasar emosi. Kesian, tradisi, modal, cari sesuap nasi dan pelbagai alasan lagi walaupun Kerajaan PAS Kelantan menyumbangkan bantuan kepada mereka. Kalau diikutkan kepentingan, Kerajaan Kelantan boleh sahaja membiarkan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Ketegasan kerajaan ini berbaloi apabila beberapa Bazar Ramadan termasuk Pulau Pinang ditutup. Di mana hero pembangkang dan pejuang penjaja kononnya. Di mana pemimpin rakyat dari Pulau Pinang apabila Negeri DAP sendiri ditutup. Belum terdengar lagi bantuan dari Kerajaan Pulau Pinang untuk penjaja yang terjejas.

Saya mengharapkan kita gunakan pertimbangan hujah dan akal bukan emosi. Kalau sekadar emosi, saya juga mahu kita bebas sepenuhnya. Saya ulangi, emosi dan perasaan saya juga mahu bebas. Kesimpulannya, Kita masih boleh rentas negeri dengan kebenaran polis.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -