Ameerah Kuantan cakna ibu tunggal, pelajar IPT

- Advertisement -

KUANTAN:  Muslimat Muda PAS atau Ameerah Kawasan Kuantan telah melaksanakan program Ameerah Care Ramadan Syawal 1442H di Dewan Assaadah Kampung Razali dalam DUN Inderapura di sini, kelmarin.

- Advertisement -

Ketua Ameerah Kuantan, Nur Shuhaida Mohd Shaiful Lizan memimpin semaian kasih dan empati kepada 19 ibu tunggal di bawah umur 40 tahun dan 19 anak muda dalam kalangan asnaf pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menurutnya, dalam suasana pandemik COVID-19 kini sudah pasti ada segelintir keluarga terutamanya ibu tunggal yang kehilangan punca pendapatan, gegitu juga pelajar-pelajar susah yang menggunakan internet untuk kelas ‘online‘.

“Menyedari hal ini maka Ameerah Kuantan mengambil tanggungjawab melaksanakan program ini sebagai salah satu wasilah untuk mendekati golongan ibu tunggal dalam
kalangan wanita muda.

“Juga anak-anak remaja agar dapat bersama-sama memikul rasa tanggungjawab dan merasai kesusahan yang mereka alami.

“Disamping itu Ameerah ingin membina hubungan dan  memperkenalkan Ameerah kepada umum dalam gerak kerja dakwah dan kebajikan terutama kepada golongan muda termasuk juga pembelaan nasib ibu tunggal muda,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan pengharapan agar dengan pendekatan ini dapat menonjolkan keterbukaan Ameerah untuk menyantuni masyarakat muda dan menyelami permasalahan yang sering mereka hadapi.

Pihak urusetia Ameerah telah memberikan layanan penuh sopan santun dan menghadiahkan setiap penerima dengan sehelai tudung muslimah yang cantik.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Khairun Hakimi Aliff Nordin berkata, beliau rasa teruja dan terkejut sebab tidak menyangka menerima sumbangan untuknya belajar ‘online‘ dan memang memerlukannya.

Perkara sama juga dinyatakan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Tasnim Cik Nali kerana menerima wang sumbangan dan mulai kagum mengenali Ameerah buat pertama kalinya.

Manakala ibu tunggal, Noliza Mohamad yang sudah tujuh tahun kematian suami dan mempunyai seorang anak berumur 9 tahun menyatakan kegembiraannya atas penerimaan itu yang melegakan beliau.

“Saya rasa suka dapat sumbangan ini walaupun saya dapat juga dari penyumbang-penyumbang yang lain. Hari ini, saya pertama kali tahu tentang Ameerah,” katanya.

Sementara ibu tunggal anak tiga, Mazura Maazam yang sudah 3 tahun kematian suami menyatakan rasa bersyukur mendapat sumbangan tersebut. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -