Pemimpin Umno, Bersatu hadiri majlis berbuka PAS Pendang

- Advertisement -

PENDANG: PAS Kawasan Pendang menganjurkan majlis berbuka puasa bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pendang dan Dun Tokai, Gajah Mati kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri oleh pemimpin Umno dan Bersatu termasuk juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kawasan Parlimen Pendang.

Umno diwakili oleh Ketua Bahagian Pendang yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Suraya Yaakob, manakala Bersatu diwakili oleh Ketua Bahagian Pendang, Encik Abdul Razak Khamis.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Pendang, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dan timbalannya, Datuk Awang Hashim turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam majlis yang julung kali diadakan semenjak Perikatan Nasional menjadi kerajaan sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun negeri Kedah.

Selain itu, pemimpin-pemimpin politik tempatan daripada PAS, Bersatu dan Umno turut hadir memeriahkan majlis berbuka puasa itu.

Majlis berlangsung dengan lancar dan berjaya merapatkan hubungan di antara parti-parti yang berada dalam gagasan Perikatan Nasional.

Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menerusi laman Facebooknya berharap ukhuwah akan terjalin dengan lebih erat dan mampu membawa Kedah ke arah yang lebih gemilang di persada tanah air. – HARAKAHDAILY 2/5/2021

- Advertisement -