‘Ustaz, tak sangka ustaz datang’

KUALA LUMPUR: “Saat embun jantan mula terbit, saya bersama-sama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Integrasi Berwawasan (PSKIB) memulakan program Kembara Sahur di sekitar Puchong, Kuala Lumpur,” ujar Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, juadah sahur dan pek barangan asas dapur diserahkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, IPD Serdang dan Subang, serta sukarelawan yang hadir.

Beliau turut berterima kasih kepada McDonalds atas tajaan juadah sahur yang disediakan.

“Kami sediakan 100 pek sumbangan untuk kelompok sasar seperti OKU, asnaf, warga emas yang memerlukan bantuan, kelompok B40 dalam kalangan polis, bomba dan lain-lain.

“Seterusnya kami bergerak ke lima buah rumah penerima bantuan sekitar Puchong untuk menyampaikan bantuan pek barangan asas dapur dan juadah sahur,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Sebanyak 40 buah rumah di sekitar Puchong menerima bantuan yang disediakan sepanjang program Kembara Sahur itu berlangsung.

Beliau amat terharu dengan sambutan mereka yang nampaknya begitu gembira dengan kehadiran kami walaupun di awal pagi.

Menurutnya, ada yang terkejut katanya, “Ustaz…tak sangka ustaz datang!”.

Beliau berkata. melihat keadaan mereka sedikit sebanyak menginsafkan kita akan betapa besarnya nikmat kesihatan yang diberikan Allah SWT.

“Ramadan benar-benar mengajar kita untuk berkongsi rezeki dan nikmat sesama kita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/5/2021