ALOR SETAR: Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di saat umat Islam sedang bersiap sedia menyambut Aidil Fitri dapat diterima dengan sebaiknya.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataannya berkata, langkah PKP di beberapa daerah di negeri itu dapat diterima sebagai sebahagian daripada kebiasaan baharu akibat ancaman penularan wabak Covid-19.
“Reaksi akibat kesukaran yang dialami daripada langkah ini tentulah bersifat negatif berbanding kesan positif yang tidak dapat dirasai.
“Nikmat kesihatan dan keselamatan hanya berharga apabila kesakitan bertandang dan bencana menimpa,” ujar beliau.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kota Kuala Muda, Baling, Bandar Baharu dan Kulim dikenakan PKP berkuatkuasa 1 Mei hingga 14 Mei akan datang.
Kata Sanusi lagi, sebagai Menteri Besar beliau memahami kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai, terutama berkait kegiatan ekonomi seperti peniaga dan penjaja.
Namun ujarnya, langkah itu amat perlu demi kepentingan keselamatan dan kesihatan orang ramai.
“Saya berharap perniagaan atas talian dan kaedah COD dapat dimanfaatkan oleh peniaga makanan dan keperluan lain sekiranya kegiatan perniagaan turut dihadkan oleh SOP terbaru itu nanti.
“SOP berhubung langkah terbaru ini akan dikeluarkan segera oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk panduan kita semua,” tambah beliau lagi.
Berikutan itu baginya menghadapi ancaman pandemik ini, beliau tetap berpegang bahawa langkah mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Justeru itu, beliau mengambil langkah membatalkan semua majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Menteri Besar di beberapa daerah dan lokasi lain yang belum berlangsung selepas tarikh PKP itu dikuatkuasakan.
“Kerajaan Negeri Kedah akan terus bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), khususnya menerima pakai saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi kebaikan seluruh rakyat Negeri Kedah.
“Saya percaya terdapat beberapa kelonggaran dalam SOP PKP kali ini berbanding SOP yang dikuatkuasakan sewaktu PKP 1.0 pada bulan Mac hingga Jun tahun lalu,” sambung Adun Jeneri itu lagi.
Sementara itu sumbangan kepada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal terpilih, selain guru Al-Quran, bidan, pemandi jenazah, penggali kubur, mudim dan perawat tradisional yang dijadualkan diadakan bersama majlis berbuka puasa tersebut, akan dilaksanakan secara hantaran ke rumah.
Hal tersebut dikendalikan oleh Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dan pusat Penyelaras Dun di daerah terbabit.
“Saya berharap seluruh rakyat Kedah akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga keselamatan diri, anak-anak dan keluarga masing-masing.
“Jika diberi pilihan, tentulah kita akan memilih berhari raya dan menjalani kehidupan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun pandemik Covid-19 yang sedang mengancam seluruh dunia pada ketika ini haruslah dipandang serius dan kita wajib sentiasa bersikap berhati-hati,” nasihat beliau.
Manakala Kerajaan Negeri dan Persekutuan menerusi seluruh jentera yang sentiasa bersiap siaga akan sentiasa peka dan mengambil berat terhadap sebarang kesulitan dan kepayahan yang dialami oleh rakyat bagi menghadapi cabaran yang mendatang.
Sanusi juga menyeru agar semua rakyat Kedah segera mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera dan pusat-pusat kesihatan berhampiran selain bekerjasama hadir bagi mendapatkan vaksin yang ditawarkan oleh Kerajaan Malaysia di Pusat-pusat Pemberi Vaksin (PPV) di setiap daerah. – HARAKAHDAILY 1/5/2021