ALLAH S.W.T berfirman yang bermaksud: “Makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah Allah semata-mata”. (Surat An-Nahl, ayat 70)
Kerja adalah satu ibadah jika ianya dilakukan dengan ikhlas, tekun dan bersungguh bukan bekerja sekadar untuk mencari sesuap nasi semata. Semoga kerja-kerja kita menjadi asbab untuk kita mendapat pahala yang banyak di sisi Allah dan dibalas dengan syurga Allah.
Konsep kerja, ibadah dan amanah adalah merupakan tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ia berkaitan dengan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, Halal dan Haram, Syurga atau Neraka.
Di antara ciri-ciri pekerja dan pekerjaan yang dianggap sebagai ibadah adalah:-
• Pekerjaan yang disertakan dengan niat mendapat keredhaan Allah;
• Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak;
• Tidak meninggalkan perkara-perkara wajib seperti Solat, Puasa dll.
• Menghasilkan kerja yang berkualiti;
• Dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh;
• Berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab;
• Menghindarkan diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik.
Islam mengajar umat-Nya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu.
Mereka sedar bahawa bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara sahaja malah ia merupakan amanah Allah SWT yang mana mereka akan di pertanggungjawabkan terhadap segala keputusan dan tindakan yang mereka lakukan sepanjang bekerja. – HARAKAHDAILY 1/5/2021