Pedoman Al-Quran: Kesejahteraan negara melalui keutuhan institusi keluarga

- Advertisement -

ISLAM sangat memberi keutamaan dalam pembentukan sesebuah keluarga yang beriman dan beramal soleh. Institusi keluarga yang baik dan bahagia sudah tentu akan menyumbang kepada kesejahteraan dalam masyarakat yang lebih besar. Oleh itu, tumpuan memberi peringatan serta didikan agama kepada keluarga perlu dijadikan agenda wajib. Allah SWT berfirman:

- Advertisement -

وَأَنذِرۡ عَشِیرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِینَ. وَٱخۡفِضۡ جَنَاحَكَ لِمَنِ ٱتَّبَعَكَ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ. فَإِنۡ عَصَوۡكَ فَقُلۡ إِنِّی بَرِیۤءࣱ مِّمَّا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu daripada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu lakukan”. (Al-Syuara’: 214-216)

Impian untuk lahirkan sebuah masyarakat yang beriman dalam sesebuah negara tidak akan berjaya dengan tidak menerapkan pertumbuhan agama kepada keluarga. Oleh itu, konsep seumpama Baiti Jannati iaitu Rumahku Syurgaku harus diterapkan dalam institusi kekeluargaan secara lebih efisyen dan ada kaedah pendidikannya tersendiri. Sememangnya sesebuah keluarga yang menitikberatkan syariat dan panduan agama, sudah tentu akan menjadi keluarga yang patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Ketika di Mekah, Nabi SAW terlebih dahulu memulakan dakwah dengan mengajak keluarga terdekat supaya tidak syirik dan menjauhi kemurkaan Allah. Dengan pelbagai ucapan dakwah serta usaha baginda SAW mendekati pelbagai golongan ketika itu adalah sebagai menyahut arahan Allah SWT agar memberi peringatan kepada ahli keluarganya. Dalam menjalankan usaha ini, Rasulullah SAW telah menyeru kaumnya:

يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ، أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ. يَا مَعْشَرَ بَنِي كَعْبٍ، أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ. يَا مَعْشَرَ بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ، أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ. يَا مَعْشَرَ بَنِي هَاشِمٍ، أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ. يَا مَعْشَرَ بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ، أَنْقِذُوا أَنْفُسَكُمْ مِنَ النَّارِ. يَا فَاطِمَةُ بِنْتَ مُحَمَّدٍ، أَنْقِذِي نَفْسَكِ مِنَ النَّارِ، فَإِنِّي مَا أَمْلِكُ لَكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا

Maksudnya: “Wahai sekalian Quraisy, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka, wahai Bani Ka’ab, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka, wahai Bani Abdul Manaf, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka, wahai Bani Hashim, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka, wahai Bani Abdul Muttalib,  selamatkanlah diri kamu daripada api neraka. Wahai Fatimah binti Muhammad, selamatkanlah dirimu daripada api neraka kerana aku tidak memiliki apa-apa daripada Tuhan untuk (selamatkan) kamu”. (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Setelah Nabi SAW menyeru kaum keluarganya terdekat kepada mentauhidkan Allah, baginda dikecam serta ditentang oleh kaum keluarganya sendiri dan pihak musuh. Cabaran inilah yang selalu dihadapi oleh penerus usaha dakwah zaman kini, terpaksa menempuh cabaran daripada keluarga terdekat apatah lagi menghadapi serangan dan cabaran pihak luar. Walau bagaimanapun, usaha dakwah wajib diteruskan sehingga matlamat yang digariskan tercapai.

Di sinilah para pendakwah mesti meneruskan usaha dakwah ini dalam sebuah jemaah yang mempunyai ahli yang cekal dan setia. Orang yang tidak bersabar dan tidak boleh setia dengan rakan apatah lagi pimpinan akan menyebabkan usaha dakwah bertambah rumit. Konsep saling faham memahami serta mengasihi antara satu sama lain sangat penting diaplikasikan.

Imam Al-Thobari ketika mentafsirkan maksud ayat hendaklah menghormati dan merendah diri terhadap pengikut dikalangan mukmin, bahawa perlunya ada sifat lembut hati sesama Muslim, bertoleransi, sopan-santun terhadap saudara mereka supaya Allah tautkan hati mereka. Inilah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya menyatupadukan para sahabat di bawah lembayung ukhuwwah yang mantap.

Walaupun sikap berlemah-lembut dan utamakan kasih-sayang mesti menjadi sifat utama para pendakwah, ia tidak bermakna tiada ketegasan dalam tindakan yang ingin merobek imej Islam. Prinsip mempertahankan Islam mesti tegas.

Jika ditinjau, Rasulullah SAW sendiri pernah terlibat dalam puluhan kali peperangan demi membela Islam. Tidak dinafikan peperangan merupakan tindakan yang kasar, yang membawa kepada pertumpahan darah, kehilangan harta benda bahkan kehilangan nyawa. Namun, peperangan adalah solusi terakhir yang perlu diambil bagi mempertahankan kedaulatan Islam daripada dikhianati apatah lagi dihancurkan oleh pihak musuh.

Ketegasan ini jugalah yang diteladani oleh para sahabat Nabi sebagaimana Sayyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A tanpa ragu-ragu memerangi kaum murtad daripada kalangan pengikut nabi palsu Musailamah Al-Kazzab dan mereka yang tidak mahu membayar zakat. Asasnya pendekatan secara harbiah atau peperangan adalah jalan akhir yang diambil dengan mendahulukan segala wasilah silmiah atau jalan damai dalam banyak agenda perjuangan.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
19 Ramadhan 1442/1 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -