MN diingatkan sentiasa muhasabah dalam perjuangan politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Musuh sentiasa mencuba pelbagai cara untuk membudayakan pemikiran sosialisme dan komunisme di negara yang berdaulat ini.

Mereka tidak menyukai sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang merupakan sistem warisan politik di Malaysia yang masih kekal terpelihara hingga ke hari ini.

- Advertisement -

Demikian pengisian taskirah Maghrib disampaikan Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Bangi, Ustaz Nushi Dato’ Mahfodz yang menyentuh topik penuh keinsafan pengertian Ramadan dan perjuangan.

Ustaz Nushi menyampaikan taskirah Maghrib di dalam Majlis Ihya’ Ramadan anjuran Muafakat Nasional (MN) Selangor yang dihadiri para tetamu terdiri daripada barisan kepimpinan Umno Selangor dan PAS Selangor.

MN Selangor wajar mengambil iktibar dari sirah kaum Muhajirin dan Ansar yang menerapkan budaya Islam sebenar dengan mewujudkan pertemuan dan perbincangan yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Antara yang hadir memeriahkan program yang diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, Penasihat Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Pengerusi MUBARAK, Tan Sri Zainal Dahalan, Pengerusi Veteran Umno Selangor, Dato’ Salamon Selamat dan lain-lain.

Manakala daripada PAS, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi dan ramai lagi.

Para hadirin yang hadir menunaikan solat Isyak dan tarawih bersama-sama diimamkan Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Dr Zamri Zainuldin.

Dalam majlis itu yang diadakan pada Khamis, Pengerusi Bersama MN Selangor, Ahmad Yunus dan Noh mengingatkan ahli MN agar sentiasa bermuhasabah dalam perjuangan politik negara khususnya di negeri Selangor.

Kedua-duanya berpesan supaya sentiasa pentingkan kebersamaan dalam setiap tindakan bagi memperkukuhkan MN Selangor untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -