Kerajaan ambil langkah berani mansuh UPSR

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Senator Ir Khairil Nizam Khirudin menyifatkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) sebagai langkah berani kerajaan membawa pendidikan negara maju ke hadapan.

- Advertisement -

Menurutnya, sistem pendidikan sekolah rendah itu perlu ditambahbaik agar tidak berlaku diskriminasi antara murid untuk mendapatkan tempat dalam pendidikan menengah kelak.

“Pada saya, ada kelebihan dan kekurangan pada UPSR tersebut, khususnya kepada sekolah-sekolah di luar bandar apabila UPSR dijadikan platform untuk berlumba-lumba bagi mendapatkan tempat di sekolah-sekolah berasrama penuh.

“Jadi rata-rata ibu ayah yang mempunyai kewangan mencukupi, mereka mampu untuk menghantar anak mereka ke tuisyen, kelas tambahan dan sebagainya, sedangkan anak-anak yang berada di kampung yang tidak mampu, mereka hanya bergantung kepada pendidikan di sekolah sahaja.

“Jadi sebab itu pada saya, bukan isu UPSR sahaja, isunya ialah bagaimana kita nak meningkatkan dan menyamaratakan pendidikan di semua tempat, sama ada di bandar ataupun di luar bandar.

“Sebab itu kita tubuhkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan MARA tubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). MRSM ini diberikan kepada anak-anak kampung walaupun dia hanya mendapat 3A di dalam UPSR tetapi oleh kerana dia duduk di kampung, dia mendapat tempat di MARA,” ujarnya kepada HarakahDaily selepas selesai program Iftar Perpaduan Ramadan anjuran DPPM di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengkaji rasional dan kesan baik pemansuhan sistem pendidikan rendah berkenaan.

“Di peringkat Pemuda, kami masih lagi reserve sebab kami nak tengok apakah solusi tanpa UPSR, kami fokus untuk membuat kajian, apakah cadangan untuk kita berikan kepada UPSR,” katanya lagi.

Pada 28 April lalu, kerajaan memutuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata keputusan memansuhkan UPSR dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan tahun lalu akibat Covid-19. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -