Kerajaan akan nilai semula PKP – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak.

Menurutnya, penilaian semula ini penting untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan bagi membendung penularan wabak berkenaan yang sedang meningkat di negara ini dan luar negara.

Advertisement

Tambahnya, kerajaan telah menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.

Katanya lagi, premis-premis itu akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati sejumlah besar mereka yang positif Covid-19.

“Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 secara bersasar.

“Melalui sistem ini pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai sentiasa mematuhi SOP ditetapkan serta elak berada di tempat sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19. – HARAKAHDAILY 1/5/2021