Covid-19: Buka PKRC ketujuh di Kelantan jika kes meningkat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang ketujuh di Kelantan akan diwujudkan sekiranya trend kes harian Covid-19 menunjukkan berlaku peningkatan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, setakat ini dalam tempoh tiga minggu berturut-turut Kelantan merekodkan kes harian Covid-19 secara tiga angka dan mereka ditempatkan di enam PKRC sedia ada.

- Advertisement -

Katanya, menerusi pemilihan penempatan PKRC ia perlu berada berdekatan dengan lokasi hospital induk Covid-19 negeri iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan juga Hospital Tumpat.

“Setakat ini dari segi pemilihan penempatan PKRC kita buka adalah tidak jauh daripada hospital induk Covid-19 dan sekiranya pesakit kategori 1 dan 2 berubah kategori, kita kena hantar ke hospital induk Covid-19 yang berdekatan.

“Antara lokasi yang sedang dikenal pasti untuk dijadikan PKRC yang ketujuh adalah Dewan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Tanjong Chat, Kompleks Balai Islam, Lundang dan juga Dewan Jubli Perak, Panji. Kalau terpaksa, kita akan buka dengan pengubah suaian yang sesuai untuk menempatkan pesakit Covid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian yang merupakan PKRC keenam di Kelantan.

Dr Mohd Azman berkata, PKRC berkenaan sekali gus menjadikan ia pusat terbaharu dan terbesar setakat ini di Kelantan yang akan menempatkan seramai 500 pesakit lelaki memandangkan setakat ini kebanyakan pesakit yang disahkan Covid-19 adalah lebih ramai dalam kalangan lelaki.

“Kita berharap PKRC keenam yang akan dibuka pada 3 Mei ini adalah PKRC yang terakhir, walau bagaimapun ia masih tiada noktah kerana bergantung kepada trend kes harian semasa di negeri ini,” katanya.

Jelasnya lagi, penggunaan kapasiti melibatkan lima PKRC di negeri ini telah mencapai maksimum iaitu antara 70 peratus hingga 100 peratus.

Dr Mohd Azman juga berkata keperluan PKRC yang agak tinggi di negeri ini susulan keadaan kediaman pesakit Covid-19 yang kebanyakannya tidak bersesuaian untuk menjalani Perintah Pengasingan Di Rumah (HIO).

“Setakat ini kita kenalkan juga HIO untuk pesakit Covid-19 bagi kategori 1 dan 2 yang dibenarkan berada di rumah namun perlu mempunyai ruang yang sesuai di dalam rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

“Namun setakat ini kita dapati masih ramai yang tidak mempunyai ruang kediaman yang tidak sesuai untuk menjalani kuarantin seperti bilik dan tandas berasingan selain mempunyai kanak-kanak dan warga emas dirumah mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -