Badar al-Kubra: Pertolongan Allah paling utama

PAS terbuka guna simbol dacing
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan khutbah Dhuha di Masjid Rusila, Kuala Terengganu
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peristiwa Badar al-Kubra merupakan antara peristiwa besar dalam sejarah Islam telah membuktikan pertolongan yang paling utama adalah pertolongan daripada Allah SWT.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ia suatu kurniaan yang telah diberikan Allah SWT kepada umat Islam yang sedikit jumlahnya dan persenjataan yang tidak lengkap tetapi hati mereka sangat ikhlas berjuang kerana-Nya.

Katanya, keimanan mereka yang kuat beserta kepercayaan yang kuat kepada janji Allah SWT yang menjanjikan kemenangan di dunia dan hari akhirat.

- Advertisement -

Tambah beliau, ini menjadikan mereka kekal teguh dengan pendirian walaupun berhadapan dengan musuh yang jauh lebih besar jumlahnya.

Beliau berkata, Allah SWT telah memberi kelebihan khusus kepada para sahabat yang terlibat dalam Perang Badar.

“Bukan sahaja mereka dimuliakan dengan kemenangan, bahkan dimuliakan mereka yang terlibat dalam peperangan itu,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, semalam.

Menurutnya, dalam Perang Badar itu, Allah SWT melibatkan manusia yang paling mulia daripada seluruh manusia iaitu Nabi Muhammad SAW dan semulia-mulia para sahabat iaitu para sahabat yang paling awal memeluk Islam.

Jelasnya lagi, Allah SWT juga telah menjanjikan keampunan dosa kepada ahli Badar walaupun mereka membuat dosa yang besar.

Katanya, mereka disanjung bukan sahaja pada waktu masih hidup bahkan selepas kematian mereka sehingga hari ini.

“Para pejuang Badar inilah merupakan kumpulan awal yang menjadi teras utama bagi mempertahankan Islam.

“Apabila Islam ditegakkan maka anak, isteri, harta, negara dan tanah air semuanya akan selamat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kalau Islam tidak ditegakkan maka semuanya tidak akan selamat. Selamatkan Islam maka semua akan selamat. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -