Yang kecil diperbesar, yang uzur tidak lagi didoa

- Advertisement -

MASYARAKAT kita sudah sampai ke tahap kritikal. Kecelikan kita kepada isu semasa di sekeliling kita seharusnya menjadikan kita lebih bersedia. Namun, kita hanya menjadi masyarakat yang suka memperbesar cerita.

Di media sosial, hantaran dan komen dibuat semberono dan sambalewa. Kita mahu jadi juara berita. Walhal faktanya jauh tersasar. Kita mahu jadi serba tahu. Walhal tiada ilmu dan pengetahuan mendalam mengenai sesuatu. Kita mahu terkehadapan. Walhal kita sentiasa mendahului penjelasan dan pencerahan pihak berkenaan.

- Advertisement -

Kita mahu jadi pakar analisa. Walhal kajian kita hanya bersandar tulisan-tulisan gosip dan satira. Andaian dianggap penjelasan, telahan dianggap kajian. Lebih malang, kita sentiasa memakai kaca mata politik untuk melihat segalanya. Sekecil mana pun silap lawan politik kita, kita dahului dengan nista. Tanpa soal bicara, tanpa selidikinya. 

Orang zaman sekarang fasih menyebut ‘tabayyun’, walhal kita hanya leka dengan ‘takabbur’. Akhirnya, kita mengenepi asas agama dalam bersaudara. Kita mengesamping asas Rukun Negara mengenai susila. Baru-baru ini Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) dimasukkan ke Institut Jantung Negara. Sebagai rakyat Malaysia yang sopan dan bersusila, kita harus mengucapkan sejahtera. Sebagai Muslim, kita harus berdoa diberi kesembuhan segera. Sebagai manusia, ini bukan masa untuk menista. 

Namun, kita terus-terusan memakai kaca mata politik, dan persepsi kita. Kata-kata baik tidak timbul dari mulut kita. Baik Muslim, lebih-lebih lagi yang bukan. Lihat sahaja komen-komen dalam gambar di bawah. Tidak, bukan TGHH sahaja yang dinista. Dan bukan saya ingin mempertahan apa-apa. Ramai lagi pemimpin tatkala dirundung malang dan diuji Tuhan, terus-terusan dicerca. 

Masyarakat apakah yang kita sedang bina? Pentingkan diri sendiri sehingga tiada rasa? Sentiasa mencari silap dan mengharap utopia? Atau hanya suka perbesar cerita. Akhirnya, sikap inilah nanti yang akan membentuk generasi muda kita. Yang menjadikan media sosial sebagai kitab, dan respon kepada isu semasa sebagai ukuran kebijaksanaan.

Sebab itu anak muda sudah tidak gemar bergelumang kitab dan mempamer adab. Mereka lebih tenang melungsur Twitter, laman web dan Youtube. Hingga masyarakat ini menjadi komuniti ‘troll’, dan ‘membawang’ terhebat.

Ya, ada baiknya pembongkaran mengenai kebobrokan dibuat. Ada juga baiknya kecelaan sifat dan pemesongan pendapat, didebat. Namun berhati-hatilah dalam memutuskan niat dan iktikad. Takut-takut nanti, kitalah yang dimaksudkan, orang yang tidak bijak (bodoh) yang berkata-kata atau mengurus hal orang awam. Ruwaibidhoh. Apatah lagi dalam bulan penuh berkat. Nau’zubillah.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -