KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan menyifatkan peringatan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam tulisannya berhubung perang siber, pemberitaan yang merosakkan sangat wajar dan tepat.
Menurutnya, Ramadan membentuk diri agar bertaqwa kepada Allah dan tidak melakukan perkara yang dimurkai-Nya termasuk mencipta, menyebar dan mempercayai fitnah.
“Sayugianya kita tidak menjebak diri dalam perangkap syaitan yang mahu membinasakan umat Islam dengan fitnah, berita palsu dan kenyataan yang mengadu domba.
“Musuh Islam suka melihat kita bertelagah dan mengabaikan tanggungjawab kita dalam menjaga agama dan mempraktiskan syariat-Nya.
“Musuh mahu kita sibuk dengan persengketaan sesama sendiri ekoran bermain dalam lumpur fitnah, sedang mereka terus menguasai politik, ekonomi dan sosial umat Islam,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Justeru itu, beliau mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan media baharu yang begitu pantas menyebarkan ‘berita dosa’ yang menjalar tanpa sempadan.
“Umat Islam dinasihatkan bertenang, tidak cepat mempercayai sesuatu berita atau maklumat melainkan terlebih dahulu melakukan tabayyun atau memastikan terlebih dahulu betul duduk sesuatu berita,” ujarnya.
Justeru, kata beliau, media baharu perlu dimanfaatkan untuk meraih pahala dengan menyebarkan maklumat atau kebaikan yang boleh membangunkan kemuliaan dan kehebatan umat Islam. – HARAKAHDAILY 30/4/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!