Rahmat penyatuan seluas lautan

- Advertisement -

PAS kalau perlu main 10 kolam sekalipun PAS sanggup kerana rahmat penyatuan itu seluas lautan. Sifatnya untuk semua, tidak terpilih untuk satu dua kumpulan. Inilah yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad S.A.W untuk diteladani oleh semua pemimpin Islam hari ini.

Kata YB Senator Ts Ir Khairil Nizam Khiruddin, Ketua Pemuda PAS Malaysia;

‘Sekarang kalau main 10 kolam sekalipun demi penyatuan ummah saya akan buat. Penyatuan ummah bukan hak eksklusif PAS dan Umno, ia juga melibatkan NGO dan NGI serta parti-parti bukan-Islam yang tidak ekstrem.’

- Advertisement -

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS juga telah lama menegaskan;

‘Pendekatan kita di Malaysia, tempat bumi Allah yang kita berpijak mengikut petunjuk al-Quran dalam aspek perpaduan umat ialah menyatukan umat Islam dengan penubuhan Muafakat Nasional yang diasaskan pada awalnya oleh PAS dan Umno dan terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuklah kepada BERSATU yang dijemput selepas itu.

‘Kemudian diikuti dengan penubuhan Perikatan Nasional yang menggabungkan semua parti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional, berasaskan piagam yang dimeteraikan secara persefahaman dahulu sebelum diperkemaskan secara berperingkat, berasaskan konsep Islam Agama Rasmi Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan.’

Penyatuan ummah perlu difahami dalam kerangka lebih besar berwawasan. Ia bukan sekadar strategi lepas tengkuk untuk mengembalikan kuasa politik yang hilang. Jika itu menjadi keutamaan maka agenda penyatuan ummah akan menemui kegagalan besar yang sukar untuk dirintis kembali untuk satu tempoh yang lama.

Nabi Muhammad S.A.W telah menunjukkan model penyatuan kepada kita semua. Disatukan terlebih dahulu Aus dan Khazraj yang kemudian diberi nama oleh Allah sebagai golongan Ansor. Lalu dipersaudarakan golongan Ansor yang merupakan penduduk asal Madinah dengan golongan Muhajirin yang berhijrah dari Makkah ke Madinah bersama Nabi S.A.W.

Tidak berhenti sekadar itu, kekuatan ummah Islam yang menjadi asas penyatuan digembleng untuk seluruh umat manusia. Tangan dihulur kepada orang bukan-Islam yang tidak ekstrem, bermula dengan mengajak mereka mentauhidkan Allah tanpa paksaan. Kedua, diajak mereka untuk bernaung di bawah pemerintahan Islam yang adil untuk semua. Maka terbentuklah Piagam Madinah yang menjadi rujukan dunia sehingga ke hari ini.

Firman Allah S.W.T:

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

(ali-Imran: 103)

Prinsip penyatuan ditunjukkan Nabi S.A.W sangat jelas. Pertama mestilah disatukan kekuatan umat Islam terlebih dahulu sebagai asas penyatuan ummah. Kedua sifat penyatuan ummah itu sendiri adalah universal dan tidak tertakluk kepada kumpulan-kumpulan tertentu sahaja.

Atas dasar inilah PAS mengusahakan penyatuan bersama Umno tatkala Umno terkejut dengan kekalahan kali pertama selepas lebih 60 tahun menjadi kerajaan. Tamparan lebih hebat apabila satu per satu parti rakan Umno meninggalkan Barisan Nasional bahkan MIC dan MCA juga pernah menyatakan hasrat keluar BN ketika itu. PAS terus mengusahakan penyatuan bersama Umno demi Islam.

Dalam masa yang sama PAS mengusahakan penyatuan dengan parti-parti melayu Islam serta NGO dan NGI Islam hingga terlaksananya Kongres Maruah Melayu yang bersejarah. Setahun yang lalu PH tumbang hasil sepakat Ahli-ahli Parlimen Melayu Islam untuk menubuhkan kerajaan majoriti Melayu Islam. Maka tertubuhlah Kerajaan Perikatan Nasional yang ditunjangi PAS, Umno dan BERSATU. Usaha itu bukanlah Langkah Sheraton. Ia adalah langkah penyatuan ummah yang arkiteknya adalah Tuan Guru Presiden PAS sendiri.

Pembentukan Kerajaan PN adalah fasa baru pengukuhan kesatuan ummah. PAS terus menjadi orang tengah yang mendamaikan. Objektifnya hanya satu. Memperkukuh penyatuan umat Islam atas akidah yang sama. Kemudian, asas yang terbina dijadikan tiang untuk memimpin penyatuan manusia yang lebih menyeluruh. Di sinilah rakan-rakan bukan-Islam yang tidak ekstrem diterima untuk bersama-sama membangunkan negara di bawah naungan pemerintahan Islam.

Namun PAS menyedari jalan penyatuan ini masih panjang. Dalam masa yang sama PAS tetap optimis lebih ramai yang akan sedar dan bersama-sama dengan usaha penyatuan ini. Musuh hari ini tidak mustahil menjadi sahabat pada hari esok. PAS terus terbuka menerima sesiapa sahaja untuk bersama asalkan sanggup berpegang dengan prinsip penyatuan ummah, tidak ekstrem, tidak Liberal yang diterjemah sebagai ‘No Anwar, No DAP’.

Ini adalah politik baru tawaran PAS untuk anak muda. Politik yang mengajak kepada penyatuan. Menjahit lompong-lompong yang ada agar kembali bertaut sesuai fitrah manusia. Politik yang mendamaikan. Politik penyatuan yang rahmatnya seluas lautan. Justeru ayuh anak muda kita bersama membugar penyatuan ummah untuk Malaysia yang sejahtera.

“Penyatuan Ramadan”
“Penyatuan Ummah”
“Perkukuh MN Pertahan PN”

AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Perak – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -