Polis cadang inkues untuk kes Ganapathy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis akan mengemukakan cadangan supaya  inkues diadakan berhubung kematian tahanan polis A. Ganapathy selepas kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata kes itu masih disiasat dan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat TPR dalam masa terdekat.

- Advertisement -

Beliau berkata pihaknya memulakan siasatan kes itu selepas menerima laporan daripada ibu mangsa pada 11 Mac lepas yang mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kaki Ganapathy dipotong.

Arifai berkata mangsa sebelum itu ditahan bersama dengan seorang lelaki pada 24 Feb lepas dan direman selama 12 hari dari 25 Feb hingga 8 Mac bagi membantu siasatan dua kes iaitu samun kilang serta mendatangkan kecederaan.

“Sehari selepas ditahan, mangsa yang positif dadah hasil ujian air kencing itu memaklumkan yang dia mempunyai penyakit jantung dan kencing manis serta keluarganya telah menghantar bekalan ubat pada hari sama.

“Sebanyak empat kali mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan sepanjang tempoh dia berada dalam tahanan kerana luka lama yang wujud sebelum tangkapan dibuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.

Beliau berkata doktor yang merawat Ganapathy mengesahkan lelaki itu mengalami ‘fasciitis menekrosis’ dan tiada pengaliran darah di kaki kanan menyebabkan ia terpaksa dipotong dan mangsa disahkan meninggal dunia di wad unit rawatan rapi Hospital Selayang pada 18 April lepas setelah 43 hari menerima rawatan.

Arifai berkata bedah siasat yang dijalankan Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian mangsa ialah ‘fasciitis menekrosis di bahagian kaki kanan yang dirumitkan dengan sepsis’ namun pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung perkara itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak pernah membuat aduan selepas tiga kali dibawa ke Mahkamah Majistret dan ketika menerima rawatan di hospital.

“Kita akan memanggil ibu mangsa dan mereka yang berkaitan dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau memberi pandangan mengenai kes itu kerana siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata orang ramai yang membuat kenyataan tidak benar di laman sosial berhubung kes itu juga akan disiasat dan dipanggil untuk memberi keterangan. – BERNAMA

- Advertisement -