Penyeludup gagal hantar rokok seludup ke ladang

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan membuat risikan berminggu-minggu sehingga berjaya mengesan penyeludupan rokok yang dianggar bernilai RM2.4 juta.

Pada kejadian jam 11 malam semalam anggota APMM menyamar sebagai bot biasa mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan memasuki muara itu.

- Advertisement -

Pasukan itu mengekori bot berkenaan sehingga mereka berlabuh di tebing sungai Kuala Sabak dan sempat memunggah beberapa kotak rokok.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim, Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob bagaimanapun berkata, penyeludup menyedari kehadirian anggota APMM laut dan darat.

“Berikutan itu kesemua penyeludup melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berdekatan setelah menyedari kehadiran anggota APMM dari darat dan laut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM, Tok Bali di sini, hari ini,

Nilaian rampasan itu termasuk enam kenderaan pelbagai guna (MPV), anggaran cukai lebih RM1.2 juta dan sebuah bot pancung bersama tiga unit enjin berkuasa tinggi jenis Yamaha.

Bot yang membawa rokok putih seludup itu pada awal dikesan kira-kira satu batu nautika dari muara Kuala Sabak, Bachok.

Muhd Nur Syam Asmawie berkata, ketika pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar kejadian terdapat enam kenderaan MPV yang dipercayai sedang menunggu untuk mengisi rokok-rokok berkenaan sebelum diedar.

Katanya, rokok berkenaan dipercayai bakal dipasarkan ke kawasan ladang dan Felda termasuk Gua Musang, Kuala Krai dan sebahagian Felda di Pahang.

“Turut ditemui satu paket kecil yang disyaki jenis syabu serta peralatan menghisap dadah dan dipercayai untuk kegunaan peribadi individu yang menjalankan kegiatan penyeludupan itu,” katanya.

Beliau berkata, rokok-rokok berkenaan termasuk, kenderaan MPV dan bot terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Kelantan dan disiasat di bawah Akta Kastam 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -