PAS ucap takziah kepada keluarga Almarhum Dr Yusnan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum Dr Md Yusnan Yusof yang meninggal dunia pada jam 2.28 pagi tadi.

“Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum. Semoga sabar dan tabah atas ujian ini,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, pagi ini.

Dalam hantaran itu, beliau menyatakan mendapat perkhabaran berita sedih pagi ini, YB Dr. Yusnan Yusof, ADUN Melor serta Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan telah kembali ke rahmatullah di pagi Jumaat dan bulan Ramadan yang mulia ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, jasa besar almarhum untuk rakyat dan Negeri Kelantan terutamanya untuk warga Melor selama lapan tahun diamanahkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor pasti akan dikenang dan dihargai.

Menurutnya, almarhum merupakan antara penggerak Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan yang berfokus untuk menyemak semula enakmen sedia ada serta mencadangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.

“Semoga pemergian almarhum di bulan Ramadan yang mulia ini dilimpahi rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Terdahulu, Setiausaha Dun Melor Tanazi Ariffin memberitahu, ketika bangun dari tidur awal pagi tadi almarhum terjatuh sebelum sempat ke bilik air.

Katanya, sebelum ini almarhum pernah mendapat rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

“Bagaimana ketika mendapat susulan beberapa bulan lepas doktor mengesahkan keadaan jantungnya didapati baik. Malah semalam almarhum hadir ke pejabat seperti biasa,” ujarnya.

Armarhum yang berusia 53 tahun meninggalkan isteri, Ustazah Romaini Daud dan enam anak. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -