Menyalahkan VS menyelesaikan masalah

- Advertisement -

SETIAP kali kita membaca isu masalah, kita akan temui soalan pertama ditanya, siapa yang buat? Sepatutnya dia. Mengapa dia buat? Dia tak tahu ke? Bla… Bla… Bla… 

Itu situasi biasa bila bertemu dengan masalah. Kita akan dapati lebih ramai berusaha mencari dan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Jarang kita temui mereka yang bertanya atau menumpu kepada penyelesaian masalah. Kebiasaannya tumpuan untuk meletakkan salah itu lebih difokuskan dari menyelesaikan masalah sedangkan keadaan sangat menuntut penyelesaian.

- Advertisement -

Ini adalah perkara paling kerap kita temui dalam organisasi atau masyarakat. Ia berharap dengan cara ini ia dapat melepaskan diri dari kesalahan. Atau mungkin boleh mengalihkan kebaikan kepadanya atau sekurang-kurangnya mengurangkan perhatian terhadap kelemahan dirinya. Mungkin juga kerana dia berminat sangat untuk beri pandangan namun dia tiada solusi dan cadangan… Hrmmmm…

Sikap begini tidak baik untuk kemajuan organisasi. Sikap beginilah menyebabkan ramai orang mengelak dari memikul tugasan dalam organisasi. Apabila dia menerima sesuatu tugasan, bersedialah menjadi bahan kritikan.

Kadang-kadang telah banyak urusan disempurnakan, namun disebabkan beberapa perkara kecil yang lain, hilang dan tenggelam semua kebaikan. Malah mungkin kesilapan teknikal itu dibesarkan hingga menampakkan satu kesalahan yang membolehkan kegagalan sesuatu pengurusan.

Jika kita perhatikan, setiap kali timbul isu dalam media sosial yang memerlukan perbincangan, malah kadang-kadang secara jelas posting itu mengharapkan cadangan solusi, namun yang diterima adalah kritikan dan hinaan.

Kita perlu mengubah mindset dan cara berfikir dan bertindak begini. Ia bukan hanya tidak membantu kejayaan organisasi malah kadang-kadang menyebabkan orang menjauhkan diri dari menerima tanggungjawab.

Ia realiti. Kita temui komen negatif lebih dari komen positif. Terimalah hakikat. Mata lalat hanya nampak kotoran, sedang mata lebah mencari manisan.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -