Manipulasi timbangan sawit: 56 pemegang lesen dikenakan tindakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 56 pemegang lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi kesalahan manipulasi timbangan sawit di bawah Peraturan-peraturan (Pelesenan) 2005 MPOB.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam kenyataan hari ini berkata sehingga 27 April lepas, sebanyak lima siri operasi bersepadu manipulasi timbangan sawit melibatkan pemeriksaan alat timbang pusat pengumpulan buah kelapa sawit telah dijalankan di 63 premis berlesen.

- Advertisement -

“Tindakan penguatkuasaan MPOB terhadap pemegang lesen yang melakukan kesalahan termasuk pengeluaran surat amaran, kompaun dan pendakwaan di mahkamah yang melibatkan denda sehingga RM200,000.

“Bagi pemegang lesen yang mengulangi kesalahan atau tegar, tindakan penggantungan, pembatalan atau lesen MPOB tidak diperbaharui akan diambil,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Khairuddin menegaskan bahawa kementerian memandang serius terhadap kegiatan penipuan timbangan buah kelapa sawit yang menyebabkan kerugian pendapatan kepada pekebun kecil.  

“Ketika harga minyak sawit mentah melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah industri sawit iaitu RM4428.50 satu tan metrik pada 23 April lepas, dan harga rujukan tertinggi Buah Tandan Segar (BTS) melepasi RM900 satu tan metrik, nikmat ini sewajarnya dirasai oleh pekebun kecil.

“Namun, peluang ini terhalang kerana tindakan segelintir pemborong yang tamak dan sanggup menjadi penjenayah ekonomi,” katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, KPPK melalui MPOB akan terus menjalankan aktiviti kawal selia dan penguatkuasaan peraturan bagi memastikan perkembangan industri sawit yang teratur.

“Sehubungan ini, MPOB akan mengambil tindakan yang lebih tegas dan serta-merta terhadap pihak yang menindas pekebun kecil,” tambah beliau. – BERNAMA

- Advertisement -