Kerajaan Kelantan, PAS negeri rakam ucapan takziah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof.

“Mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan PAS Kelantan, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Beliau menyatakan demikian dalam satu hantaran di Facebooknya, pagi ini.

- Advertisement -

Dr Yusnan Yusof yang juga ADUN Melor merupakan Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 2.00 pagi tadi.

Sebelum dilantik sebagai ADUN Melor sejak tahun 2013, Allahyarham merupakan bekas pembantu Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco.

Menurut Ustaz Ahmad, selepas dilantik sebagai Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan pada tahun 2013, Dr Md Yusnan berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak Enakmen-enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya lagi.

Dr Md Yusnan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi di rumahnya di Ketereh dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut Setiausaha Dun Melor, Tanazi Ariffin, ketika bangun dari tidur awal pagi tadi arwah terjatuh sebelum sempat ke bilik air.

Sebelum ini, katanya allahyarham pernah mendapat rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

“Bagaimana ketika mendapat susulan beberapa bulan lepas doktor mengesahkan keadaan jantungnya didapati baik. Malah semalam arwah hadir ke pejabat seperti biasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -