KUANTAN: FELCRA Berhad sehingga sekarang memajukan tanah seluas 244,111 hektar di seluruh negara yang merangkumi lapan Wilayah Pembangunan termasuk Wilayah Pahang.
Menteri Besar Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, FELCRA Berhad Wilayah Pahang memajukan tanah seluas 53,530.87 hektar dalam pelbagai kategori pembangunan termasuk Tanah GSA, Rancangan Tanah Kelompok (RTK).
Selain itu Tanah Milikan Persendirian, Rancangan Orang Asli (ROA) dan Ladang Sejahtera yang melibatkan tanaman kelapa sawit seluas 44,073 hektar dan tanaman getah seluas 9,457 hektar.
Katanya, hasil usaha tersebut membolehkan FELCRA membayar dividen yang berjumlah RM48.14 juta bagi tahun kewangan 2020.
“Sebagai mana biasa FELCRA Berhad membuat agihan dividen sebanyak tiga kali setahun berdasarkan interim 1, interim 2 dan interim 3.
“Saya dengan ini mengumumkan jumlah dividen interim 3 di seluruh Pahang berjumlah RM27.598 juta yang akan memberi manfaat kepada 11,055 orang daripada jumlah keseluruhan 23,279 peserta,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu beliau menyerah Dividen FELCRA Wilayah Pahang Interim Ketiga Tahun Kewangan 2020 kepada peserta yang terbabit dengan projek di bawah agensi terbabit.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad Nazrul Izam Mansor dan Pengurus Besar Wilayah Pahang, Nor Zahari Zakaria dan Ketua Peserta FELCRA Berhad Wilayah Pahang Dato’ Rodzuan Zaaba.
Peserta dari ladang Pulau Pasir Mandi, Temerloh merupakan penerima tertinggi yang berjumlah RM6,991 dengan keluasan pegangan 1,619 hektar (4 ekar bagi setiap peserta).
Bagaimanapun kata Menteri Besar terdapat peserta tidak menerima dividen kerana ladang mereka terlibat program tanam semula dan penghasilan tidak sepenuhnya.
“Saya berharap agihan keuntungan ini akan memberi sedikit kelegaan kepada peserta-peserta FELCRA yang mana pendapatan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak setahun lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!