Dr Yusnan Yusuf dalam kenangan kolektif kita semua

- Advertisement -

“ANTA sedang tulis buku apa? Allahu ana tak sempat nak menulis, cuma baca apa yang kawan-kawan tulis je dulu” sapa almarhum setiap kali berpapasan dalam apa sahaja program jamaah di ibu kota terutama di Taman Melewar.

Buku dan ilmu adalah fokus dalam kehidupan sosok ilmuan ini. Saya apabila memandangnya sekilas lalu akan teringatkan arwah Pak Syed Mohammad mantan petugas sepenuh Masa PAS di Pejabat Agung. Keduanya mempunyai persamaan iaitu mesra dan peramah.

Pemergian Dr Yusnan Yusuf, mantan pensyarah UIAM Gombak, yang juga merupakan bekas aktivis pelajar Islam sangat mengejutkan kita semua.

Melihat kepada jadual kehidupannya di muka buku tiada tanda beliau sakit, masanya padat terisi dengan pelbagai program cakna rakyat.

Status terakhir di muka buku juga mengajak Kita semua berpegang teguh dengan al-Quran dan ajaran Islam.

- Advertisement -

Kepulangan beliau ke alam abadi sehari selepas cuti memperingati peristiwa Nuzul Al-Quran juga telah mengingatkan kita betapa kualiti masa yang digunakan oleh almarhum untuk mendidik anak bangsa, juga untuk merakyatkan gerakan kebajikan hingga ke akar umbi sehingga ke pelosok kampung sehinggalah keseriusan beliau untuk memartabatkan perundangan Islam di Kelantan.

Almarhum menggalang pelbagai jawatan dalam parti dan kemasyarakatan termasuk dengan jawatan beliau sebagai Timbalan Exco dalam bidang Dakwah dan Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Alfadhil Ustaz Dr Yusnan Yusuf anak kelahiran Kelantan yang mendapat pendidikan menengah di sebuah institusi tersohor yang melahirkan tokoh- tokoh masyarakat.

Alumni Maahad Muhammadi Kelantan ini yang mengambil SPM pada tahun 1985 ini terasuh dengan fikrah perjuangan sejak zaman remaja lagi.

Beliau yang tergolong sebagai pelajar yang cerdas telah melanjutkan pendidikan tinggi di Morocco, sebuah negara di Afrika Utara.

Almarhum terus menaiki takah-takah pendidikan peringkat Sarjana apabila pulang ke Malaysia, Yusnan kemudiannya menyambung pendidikan MA (Sarjana) di UIAM.

Api semangat untuk terus memacu keupayaan intelektual memungkinkan dia bermukim ilmu di tanah Eropah.

Dr Yusnan mempunyai semangat dan cita-cita yang tinggi untuk menjadi seorang pendidik terutama bagi membangunkan pendidikan dalam jamaah.

Beliau seterusnya menyambung pendidikan ke peringkat Phd di Universiti Exeter United Kingdom. Beliau sezaman dengan Dr Fazli Hasan (AJK PAS Pusat), menjadi tenaga utama pembimbing Hizbul Islami United Kingdom.

Beliau istiqomah dalam gerakan pelajar Islam dan fokus dalam agenda membina generasi. Beliau menjadi pensyarah di Fakulti Pendidikan UIAM dan juga terus rancak dengan aktiviti pembinaan dan pengkaderan pelajar-pelajar Islam di UIAM dan kampus tempatan yang lain.

Dr Yusnan juga semasa menjadi pensyarah di UIAM turut terlibat ahli jawatankuasa PAS kawasan Gombak dan juga terlibat dalam usaha-usaha merancakkan pendidikan di kawasan tersebut.

Beliau juga kerap pulang membantu PAS di negeri kelahirannya serta telah dipinjamkan seketika bertugas di Morocco.

Dr Yusnan Yusuf dipanggil pulang ke Kelantan pada tahun 2013 untuk bertanding di Dun Melor Kelantan, yang sebelum ini konstitusi tersebut ditandingi oleh Ustaz Wan Ismail.

Beliau telah menang pada PRU ke-13 seterusnya menabur bakti sebagai anggota legislatif, berbudi kepada masyarakat dengan pelbagai aktiviti kebajikan, menyantuni asnaf tanpa jemu termasuk menjadi pengerusi PIBG sebuah sekolah agama di kawasan Ketereh Kelantan.

Dr Yusnan yang saya kenali, setiap kali berjumpa akan berbicara tentang ilmu terutama keinginan beliau untuk menulis buku-buku, namun beliau selalu menyebut bahawa kekangan beliau sebagai Adun di Kelantan merencatkan peluang beliau untuk menulis dan mengkaji.

Namun, beliau sempat menghasilkan buku dalam kesibukan beliau yang bertajuk “10 Tips Kecemerlangan”.

Almarhum mempunyai banyak idea-idea yang belum dilaksanakan dalam kesungguhan beliau membantu Kerajaan Negeri Kelantan dalam mengemaskini Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.

Almarhum turut membantu menyuburkan jihad ta’lim di Kelantan sebagai Serambi Mekah.

Semoga Allah SWT merahmati almarhum Ustaz Dr Yusnan Yusuf yang kembali ke rahmatullah Jam 2 pagi 18 Ramadan kerana serangan jantung.

Beliau meninggalkan seorang balu, Ustazah Rosmaini yang merupakan seorang pendidik dan juga anak-anak yang insya Allah akan terus meneruskan legasi perjuangan beliau.

Alfatihah buat pejuang!

Penulis Dr Riduan Mohamad Nor adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -