Dakwah Islam tembusi wilayah Yaman secara aman

RAMADHAN menempa sejarah di negeri Yaman yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Penduduknya menerima Islam tanpa perang seperti kemasukan Islam ke wilayah yang lain.

Nabi Muhammad SAW mengutuskan Saidina ‘Ali bin Abu Talib RA dengan membawa surat Baginda SAW kepada penduduk Yaman khususnya suku Hamdan.

Dalam tempoh satu hari, kabilah Yaman menghantar rombongan yang diketuai oleh Abu Musa al-Ash’ari RA bagi menghadap Rasulullah SAW. Kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman.

Advertisement

Peristiwa bersejarah ini berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah. Ketibaan mereka disambut oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

أَتَاكُمْ أَهْلُ الْيَمَنِ هُمْ أَرَقُّ أَفْئِدَةً، وَأَلْيَنُ قُلُوبًا، الْإِيمَانُ يَمَانٍ، وَالْحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ، وَالْفَخْرُ وَالْخُيَلَاءُ فِي أَصْحَابِ الْإِبِلِ، وَالسَّكِينَةُ وَالْوَقَارُ فِي أَهْلِ الْغَنَمِ.

“Rombongan penduduk Yaman datang kepada kamu. Mereka ialah orang paling lembut hatinya dan lemah kedegilannya. Iman itu berada di Yaman, kebijaksanaan itu berada di Yaman. Sombong dan bermegah diri berada dalam kalangan penternak unta. Ketenangan jiwa berada dalam kalangan penternak kambing.” [Riwayat al-Bukhari 4388]

Penduduk Yaman terdiri daripada penternak kambing, binatang kecil lagi lemah. Ia menjadikan mereka bersifat kasihan belas dan lembut hati.

Berbeza dengan penduduk yang mentemak unta yang besar dan liar. Ini menjadikan mereka keras dan kasar. Ia menunjukkan sesuatu pekerjaan mempengaruhi peribadi dan perangai manusia.

Secara kebetulan, kedatangan Islam ke Tanah Melayu ini juga sebahagiannya dibawa oleh pendakwah dari Yaman.

Mereka berjaya menyebarkan Islam tanpa perang sepertimana yang berlaku di wilayah lain.

Kebijaksanaan mereka menyampaikan Islam tanpa kekerasan ialah bukti pujian Rasulullah SAW kepada penduduk Yaman.

Dalam kalangan mereka, lahir para sahabat dan tabiin ulama’ terbilang sehingga zaman mutakhir seperti Imam al-Syaukani RH, Imam al-San’ani RH dan lain-lain.

Pedagang-pedagang yang merantau ke seluruh dunia menjadikan perniagaan sebagai sumber kehidupan dan menyebarkan Islam sebagai kewajipan pertama.

Buktinya, mereka berkeluarga di luar Yaman dan meninggal dunia di tempat mereka berdakwah.

Peribadi Islam yang ada pada diri mereka mempengaruhi penduduk setempat bagi menganut Islam dan meninggalkan agama nenek moyang.

Oleh itu, kedatangan Islam yang bermula pada bulan yang membawa keberkatan berpanjangan sehingga kini. – HARAKAHDAILY 30/4/2021