Allahyarham Dr Yusnan ajar saya nilai masa, cermat dalam hidup

ADA sahabat yang diberikan peluang menziarahi jenazah Allahyarham Dr. Yusnan Yusof yang meninggal dunia melihat terdapat tanda-tanda husnul khatimah antaranya dahinya berpeluh ditambah dengan kematiannya pada pagi Jumaat dalam bulan Ramadan.

Saya terfikir, apakah amalan baik beliau. Sebagai manusia, kita melihat yang zahir yang dapat kita saksikan. Sesiapa yang pernah bekerja bersama beliau pasti mengetahui. Beliau adalah Timbalan Exco saya. Bukan sekadar mesyuarat bersama bahkan pernah bermusafir bersama.

Saya sebutkan kalau sesiapa yang perasan, beliau cukup jaga masa walau satu minit.

Teringat menyertai satu mesyuarat bagi program perantau yang dipengerusikan beliau, sepatutnya mesyuarat bermula jam 2.00 petang. Saya sebagai urusetia sedikit terlambat sekitar lima minit uruskan dokumen untuk pembentangan. Sebaik saya tiba Allahyarham tanya “Ustaz, jam di tangan ustaz pukul berapa? Jam tangan ana pukul 2.05 dah.” Mukanya serius. Saya ingat dia bergurau. Saya tergamam. “Maaf YB, kena uruskan kertas nak bentang mesyuarat ni. Tu yang lambat.”

Advertisement

Saya ingat jawapan saya ini tepat dan dapat diterimanya. Rupanya saya tersilap. “Dok eh, tak kan hari ni mesyuarat, sakni baru nak print, nak fotostat belaka. Sepatutnya tahu dah mesyuarat hari ni, dua hari lepas dah siap.” Akhirnya saya mengakui kesilapan. Memang beliau betul, saya salah.

Kedua, orangnya teliti dan cermat. Kertas kerja atau minit mesyuarat akan diperhalusi huruf ke huruf dan baginya, apa juga dokumen nak dibincang dan dibentang, hendaklah diserah awal untuk dibaca dan diteliti, bukan pada hari mesyuarat baru diedar. Itulah pengalaman yang beliau cerita jika YB Dato’ Exco mewakilkan kepada beliau menghadiri mana-mana mesyuarat.

Ketiga, cermat dalam penggunaan duit kerajaan. Walau atas sifatnya sebagai wakil rakyat boleh claim perjalanan atau urusannya, tetapi amat berhati-hati walau penggunaan satu sen duit.

Pernah satu program perantau di Kuala Lumpur beberapa tahun lepas beliau hubungi saya untuk menumpang kereta pejabat. Saya tanya kenapa Dr tak gi dengan flight?

“Ana tengok harga tiket mahal, beratus-ratus, walaupun ana boleh claim tapi tok se bazir duit kerajaan. Banyak benda kerajaan boleh buat lagi dengan duit tu.”

Paling saya terkesan, amalan dia yang amat tepati masa. Tentu ia suruhan Allah dalam surah Al-‘Asr. Cukup-cukuplah dengan ‘janji Melayu’. Janji yang menjanjikan orang yang datang awal menunggu yang lewat.

Zaman ini mungkin sukar untuk kita mencari Khalifah Umar Abdul Aziz kedua. Namun, dalam beberapa kerja buat para pimpinan kerajaan negeri hasil didikan Almarhum Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob ini, kita akan nampak sifat ini berbekas walau tidak sehebat Umar Abdul Aziz dulu.

Al-Fatihah untuk Dr. Yusnan dan pimpinan yang mendahului beliau. Semoga Allah merahmati mereka semua. – HARAKAHDAILY 30/4/2021

Penulis merupakan Penolong Pengarah Seranta Urusetia Penerangan dan Komunikkasi Negeri Kelantan.