Politik Ramadan membawa pengharapan

- Advertisement -

KITA kini menjejak sepuluh hari kedua Ramadan. Betapa pantas masa berlalu. Di bulan yang penuh barakah inilah kita mengejar dan berlumba-lumba mendapatkan rahmat, keampunan dan jaminan pembebasan azab api neraka dari Allah S.W.T.

Mereka yang meniti bulan mulia ini dengan sabar dan tekun dijanjikan beroleh barakah-Nya manakala mereka yang lalai dan cuai akan sekadar memperoleh lapar dan dahaga, rugi dan menyesal. Keyakinan terhadap janji dan pertolongan Allah S.W.T inilah mendorong kita untuk mempertingkatkan ibadah kita di bulan ini dengan harapan amalan Ramadan ini akan mampu kita bawa sebagai bekalan kita yang berguna dan bermakna di Hari Akhirat nanti.

- Advertisement -

Gerakan politik walau bagaimanapun tidak berhenti di bulan ini, ia terus berjalan namun sewajarnya para penggeraknya mengambil iktibar dari kemuliaan bulan ini untuk mengusahakan sesuatu yang bermanfaat dan bermakna buat Islam. Semoga ahli dan para pendukung serta seluruh rakyat dapat mengambil keuntungan dari politik kita dan dapat menebus ganjaran bila berhadapan dengan Allah S.W.T nanti.

Apa guna di bulan mulia ini dalam keadaan kita tekun menjalani ibadah puasa kerana mahu mengejar pembalasan baik dari Allah S.W.T tetapi kita turut membawa dan menaja politik benci-membenci, perpecahan dan sengketa. Yang kita nampak adalah kelemahan dan keburukan orang untuk kita ambil kesempatan bagi merebah dan menghancurkannya. Kita tepis dan tolak segala tangan yang mahukan kedamaian. Kita jaja politik cantas-mencantas yang sepatutnya tiada dalam bulan yang mulia ini.

Yang perlu menyerlah di bulan Ramadan ini sepatutnya adalah politik kedamaian, tolak-ansur, berjiwa besar menuju ke perpaduan dan permuafakatan sebagaimana yang diteroka dan berjaya diasaskan oleh Rasulullah S.A.W, pemimpin dan ikutan kita sepanjang zaman.

Bukan mudah mahu membawa politik seumpama ini tambahan bagi mereka yang pernah bersengketa dan bertelagah sesama sendiri. Namun segalanya dapat dirawat kiranya kita meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara di hadapan mengatasi segala yang lain.

Golongan Auz dan Khazraj di Yathrib sebelum hijrahnya Rasulullah S.A.W begitulah, sehingga berperang-perangan sesama mereka, walau bagaimanapun apabila terdetik hati mahukan keamanan dan kedamaian, dicari dan diusahakan dengan ikhlas dan jujur, akhirnya permuafakatan terbentuk dan darinya tertegak Daulah Islamiyah yang memancarkan cahaya pengharapan dan keadilan buat umat manusia.

Mengapa kita tidak boleh begitu sedangkan kita juga umat Muhammad S.A.W? Rakyat di luar sana telah merasa sempit dan azabnya dua puluh dua bulan pemerintahan Pakatan Harapan. Gerakan politik yang berkempen atas janji-janji dan harapan yang melangit tingginya, tetapi setelah disokong dan mendapat mandat serta kuasa, segalanya dimungkiri dan rakyat menjadi mangsa tertipu hidup-hidup.

Landskap politik negara berubah apabila rakyat terpecah sehingga membawa kemenangan besar pada PH. Umat Melayu yang sejak Merdeka memegang tampuk kuasa dengan selesa tiba-tiba berhadapan dengan suasana cemas dan tercabar, lantaran perpecahan tadi mereka tiba-tiba menjadi lemah dan naik mendominasi mereka golongan minoriti yang menang besar atas perpecahan sesama umat. Perdana Menteri mungkin masih Melayu tetapi berpijak atas kekuatan kuasa politik bukan-Melayu Islam khasnya DAP dan beberapa MP bukan Islam yang lain.

Akibatnya mulalah kepentingan dan keutamaan negara ditulis semula. Yang memberi kemenangan kepada PH adalah kekuatan sokongan golongan minoriti dan mereka ketika itu mendominasi kerajaan, maka wajarlah agenda mereka diutamakan. Dan itulah yang berlaku sepanjang 22 bulan yang dimaksudkan.

Mereka menuntut diadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan yang selama ini dibekukan, mereka menuntut dan diberi peruntukkan tambahan untuk sekolah-sekolah dan Institusi Pengajian dan agama mereka, mereka mempertikaikan bajet jabatan dan institusi Islam serta Raja-raja Melayu, mereka mempertikaikan pembelajaran tulis Jawi, mereka menuntut hak untuk menukar agama, hak untuk mengamalkan budaya songsang LGBT, hak untuk mengamalkan ajaran yang difatwa sesat, mereka desak dan berjaya menggugurkan dakwaan terhadap pimpinan mereka, mereka raikan tindakan mengembalikan abu mayat musuh dan pengganas nombor satu negara Chin Peng, mereka promosi kesusasteraan yang mengagungkan perjuangan PKM (Parti Komunis Malaya) malah mahu anggap PKM sebagai sebahagian dari pejuang kemeredekaan negara. 

Banyak lagi yang sempat mereka lakukan dan rancang sepanjang 22 bulan, adakah kita terlupa? Rakyat khasnya umat Melayu Islam cukup rasa terhina dan kerana itu apabila Kerajaan PH jatuh, mereka melonjak gembira dan mengucap syukur.

Mereka mahukan kuasa kembali ke tangan anak bangsa. Agar Islam terus terpelihara dan tiada yang berani mencabar lagi sampai bila-bila. Agar Raja-raja Melayu terus diberi ketaatsetiaan kekal memayungi agama dan memberikan keadilan. Agar bahasa Melayu terus dijulang termasuklah Pendidikan dan tulisan Jawi. Sekolah-sekolah dan Institusi Agama diperkasakan termasuklah sistem perundangan dan kehakiman Islam, jangan ada lagi siapa yang berani menggugatnya.

Mereka mahu kekayaan negara diberi dan diagih secara adil mengambil kira status quo dan kontrak sosial yang ada. Biar anak-anak bangsa dan rakyat negara ini amnya dapat hidup sejahtera dan berkongsi kekayaan negara. Kerana itu apabila terbentuk kerajaan baru sejurus hancur-musnah kerajaan 22 bulan PH, umat Melayu Islam cukup lega, gembira dan senang hati.

Apabila parti-parti Melayu Islam khasnya dapat bermuafakat dan berpakat membentuk kerajaan demi mempertahankan nasib dan masadepan ummat, ramai yang mahukan kerjasama ini kekal berterusan sehingga tiada ruang lagi buat PH dan DAP kembali naik bertapak, cukup-cukuplah kesengsaraan 22 bulan itu.

Kerana itu Ramadan inilah bulan yang sebaiknya bagi membina perpaduan ummah yang pernah dijayakan oleh Rasulullah S.A.W satu ketika dahulu. Semua pihak perlu berusaha dan rakyat jelata terus berdoa, yakinlah doa mereka yang berpuasa cukup mustajab dan tidak mustahil diperkenankan. Moga terbentuklah sebuah Malaysia yang bersatu padu umatnya di bawah naungan dan jaminan keselamatan Allah S.W.T.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -