Perutusan Presiden PAS sempena Nuzul Al-Quran 1442H

- Advertisement -

BULAN Ramadan yang penuh berkat ini bukan sekadar mengingatkan kita dengan berpuasa di siang hari, tetapi bulan ini juga mengingatkan kita dengan bulan Al-Quran, mukjizat ilmu paling agung kepada umat akhir zaman sehingga ternyata kebenarannya melalui kajian sains dan berjaya mengalahkan teori falsafah barat. Firman-Nya:

- Advertisement -

﴿شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ…١٨٥﴾

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk serta pembeza (antara yang hak dan yang batil)…” (Surah al-Baqarah: 185)

Hikmah Allah SWT memuliakan Al-Quran apabila diturunkan di dalam bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan fadhilatnya. Tujuan penurunan al-Quran adalah untuk menentukan perbezaan antara benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan.

Segala petunjuk Al-Quran itu adalah kasih dan rahmat Allah SWT kepada manusia dengan menunjuki jalan yang benar sehingga membawa kebaikan kepada mereka di dunia dan akhirat. Sesiapa yang meninggalkan petunjuk Al-Quran, dia akan berada dalam kesesatan dan kemusnahan hidup di dunia dan di akhirat.

Sepatutnya dalam kita menikmati kehidupan di Bulan Al-Quran, seharusnya kita sedar betapa pentingnya kembali kepada pelaksanaan Al-Quran yang sempurna dan menyeluruh sama ada dalam aspek ibadat, akhlak, ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan dan sebagainya.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran 1442 kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Marilah kita bersama-sama memperbanyakkan membaca Al-Quran, menghayati maknanya dan melaksanakan kandungannya dalam seluruh kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara.

“Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -