Pedoman Al-Quran: Pelihara nikmat kemenangan untuk jana tamkīn

AL-QURAN telah memaparkan kisah kekuasaan para anbiya’ alaihimussolātu wassalām dan para pengikut mereka dengan model pemerintahan yang sangat dinamik, adil lagi saksama. Kesemua mereka menjadikan Allah sebagai teras pemerintahan dalam semua perkara. Mereka sangat patuh arahan dan Allah mengasihi mereka dengan mengurniakan kekuasaan yang tiada tolak bandingnya. Firman Allah SWT:

Advertisement

ٱلَّذِینَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡا۟ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ

Maksudnya: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”. (Al-Hajj: 41)

Tamkīn atau kekuasaan yang diperolehi dalam menguasai sesebuah pemerintahan adalah kurniaan yang Allah sediakan kepada hamba-Nya yang taat lagi soleh. Walaupun golongan ini miskin, sentiasa dihina dan dizalimi, ia tidak bermakna tamkīn sukar dikecapi. Dalam mentafsirkan ayat berkenaan, majoriti para mufassirin menyatakan bahawa tamkīn boleh terjadi apabila ikhlas menjadi teras dalam perjuangan, adanya taat dan thiqah kepada pimpinan, Islam dijadikan dasar dan sentiasa ada jihad serta tadhiah demi tegakkan perjuangan Islam.

Sekiranya pemimpin sesebuah negeri atau negara berusaha menjadikan agenda solat, zakat dan urusan amar makruf nahi mungkar sebagai keutamaan, Allah pasti memudahkan jalan ke arah tamkīn. Dalam Fi Zhilal Al-Quran menyebut bahawa asas tamkīn ialah menyempurnakan tuntutan rukun Islam yang lima dan adanya islah masyarakat dengan amar makruf nahi mungkar. Dengan pelaksanaan tuntutan syariat tersebut, Allah akan mengurniakan terlebih dahulu nusrah daripada-Nya.

Sesungguhnya tamkin tidak akan terjadi melainkan berlakunya terlebih dahulu Al-Nasr dan juga Al-Fath. Kemenangan dan pembukaan inj juga tidak akan diperolehi jika hanya ada golongan penakut dalam saf perjuangan sehingga hak Allah terabai. Sebaliknya perlu ramai golongan yang hanya gerun kepada Allah dengan ketinggian tawakal serta sabar dalam berhadapan cabaran perjuangan. Sabda Rasulullah SAW:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ أَوْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ

Maksudnya: “Akan tetap ada di kalangan umatku suatu golongan yang mendirikan tuntutan Allah. Tidak akan memudharatkan mereka golongan yang menentang atau menyanggahi mereka sehinggalah Allah mendatangkan ketentuan-Nya (kemenangan) dan mereka berjaya menguasai sekalian manusia”. (Riwayat Muslim)

Allah SWT telah mengurniakan terlalu banyak nikmat kemenangan kepada Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang tiga dekad ini. Pelbagai nikmat kesejahteraan telah dikecapi walaupun pelaksanaan Islam secara syumul atau kuasa tamkīn masih belum tiba. Nikmat ini adalah hasil pengorbanan para pejuang terdahulu yang berusaha menobatkan dasar Islam dalam pentadbiran dan semua aspek agenda kerajaan. Insya-Allah dengan dasar Membangun Bersama Islam yang telah diterapkan ini akan terus digerakkan semaksimum mungkin demi menuntut sebuah tamkīn daripada Allah SWT.

Dalam hal ini, kerjasama erat antara pimpinan dan rakyat perlu dipupuk dengan sebaiknya. Pemimpin menjalankan amanah yang telah terpundak dibahunya sementara rakyat terus memberi sokongan padu dan melaksanakan secara bersama agenda pembangunan ummah. Setiap pandangan dan khilaf hendaklah diurus secara berhemah dengan menjauhkan saraf dan propaganda yang boleh menimbulkan suasana huru-hara dalam masyarakat. Sesungguhnya menjana kemenangan dan kekuasaan itu suatu yang sukar namun untuk mengisi serta mengekalkan kemenangan itu adalah terlebih sukar.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
17 Ramadhan 1442/29 April 2021 – HARAKAHDAILY 29/4/2021