Isu Surau Al-Karamah dapat perhatian Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah
- Advertisement -

IPOH: Isu Surau Al-Karamah di Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh di sini mendapat perhatian Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang memberi perkenan agar surau itu tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata susulan titah Sultan Nazrin itu, beliau mengadakan perbincangan khas bagi mendengar taklimat daripada pelbagai jabatan berkaitan.

- Advertisement -

Perbincangan itu telah merumuskan beberapa perkara dan telah dipersembahkan kepada Sultan Nazrin, katanya.

“Selaras dengan pembangunan yang sedang berlaku di kawasan berkenaan, adalah dicadangkan surau yang sedia ada digantikan dengan surau yang lebih baik di lokasi lain dalam  kawasan yang sama setelah berunding dengan jawatankuasa surau dan penduduk di kawasan berkaitan.

“Pihak kerajaan akan menawarkan tapak gantian baharu sementara pihak pemaju akan membiayai sepenuhnya kos pembinaan sebuah surau baharu,” katanya dalam kenyataan.

Shubungan itu katanya, surau sedia ada akan terus berfungsi seperti biasa sehingga surau baharu siap dan boleh berfungsi untuk kegunaan penduduk.

Pada 23 April lalu, media melaporkan Jawatankuasa Surau Al-Karamah memohon campur tangan Majlis Agama Islam Perak, Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan. – BERNAMA

- Advertisement -