Covid-19: Dataran Medan Bandar ditutup

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebarang aktiviti tidak dibenarkan diadakan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negeri itu.

Aktiviti itu termasuk riadah, berbuka puasa atau lain-lain yang pernah diadakan sebelum ini.

Arahan itu dikeluarkan Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Dato’ Zaid Ahmad, di mana orang awam sama ada berkumpulan atau perseorangan dilarang melakukan aktiviti di dataran itu berkuatkuasa 26 April lalu.

- Advertisement -

“Kegagalan mematuhi arahan tersebut merupakan satu kesalahan,” kata beliau.

Dataran Medan Bandar terletak berhadapan Masjid Zahir merupakan salah satu tempat popular dan menjadi tumpuan orang ramai untuk mengadakan pelbagai aktiviti.

Ia juga kerap kali dijadikan medan berbuka puasa setiap kali Ramadan memandangkan kawasannya luas, selamat dan berhampiran masjid.

Malah sebelum ini dataran itu menjadi pilihan ibu bapa membawa anak-anak bermain dan berehat pada waktu malam.

Kebelakangan ini beberapa daerah di Kedah mencatatkan kenaikan kes positif Covid-19, antaranya Daerah Kota Setar dan Kuala Muda.

Malah tujuh sekolah diarahkan ditutup selama dua hari untuk kerja-kerja sanitasi selain tiga buah lagi (satu di Kota Setar, dua di Baling) diarah tutup semalam seminggu berikutan terdapat kes positif Covid-19. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -