Budaya hedonisme, seronok santai bulan Ramadan musim pandemik

- Advertisement -

RAMADAN berlari meninggalkan kita yang masih termanggu dan culas memohon keampunan. 17 Ramadan memberikan ruang Kita cuti rehat, juga pelbagai program membicarakan kemuliaan Al Quran, kisah Nuzul Al Quran dan pelbagai mukjizat Al Quran. Bulan turun Al Quran ini juga Allah membuka ruang seluas mungkin untuk mengampunkan kita, para pendosa yang tak sedar dek untung. Bulan pengampunan dengan bonus pahala yang meruah namun sebahagian kita masih leka dan terbuai diulit mimpi. Masa yang sangat berharga, dihabiskan dengan menonton siaran televisi dan menggodek telefon pintar. Media sosial meriah di musim PKP, umpat keji bergentayangan dan kita terus terlalai walau jasad terpasung di dalam rumah. Mengumbar selebriti berpurdah, mengumpat pemimpin seolah satu nikmat tak terperi bagi sesetengah insan bergelar Muslim.

Saya teringat pesan-pesan berharga almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat agar lidah kita dibiasakan menyebut bulan Ramadan, bukan memanggilnya bulan puasa. Hujah almarhum, disebut bulan puasa maka tergambar pesta makanan dan berpuasa semata-mata. Jika diratib bulan Ramadan maka pakejnya pelbagai seperti bulan al Quran, bulan jihad, bulan pengampunan dan pelbagai gelaran yang lain.

- Advertisement -

Rugilah kita semua jika musim PKP saat Ramadan ini, namun kalam suci tak mampu kita sulam dan menghayatinya tetapi dijarah masa dengan menonton daripada satu rancangan ke rancangan hiburan yang lain. Tujuannya untuk membunuh masa, sedangkan masa adalah modal dunia kita paling berharga untuk dibawa ke negeri abadi. Alangkah singkatnya umur umat Muhammad SAW, sehingga Allah anugerahkan Ramadan kepada kita semua dengan semua amalam akan dilipat kali gandakan. Al Quran dibiarkan sendu dan tak tersentuh walhal ar Rasul SAW sangat akrab dengan al Quran, ditasmik bacaan oleh malaikat Jibril dan paling malang ramai anak remaja tidak pandai membaca kalam suci. Miskin jiwa anak bangsa ini jika tak mampu membaca ayat-ayat suci sedangkan mereka mampu menghafal lirik-lirik lagu!.

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista. Lebih malang juga kali ini, kita menghina orang miskin dan yang memerlukan bantuan. Kita menjadi sangat rapuh dalam menimbang baik dan buruk, bahkan menjadi kurang manusiawi. Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme.

Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dan akhlak tiada dalam neraca pemikiran.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada method dakwah yang digunakan oleh para ulamak dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulamak telah mengggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai method dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulamak di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai method dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah Wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulamak telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada sensate culture, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Masyarakat Muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan takdir. Kita semua, peserta-peserta universiti tarbiah Ramadan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dalam kalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Moga Ramadan musim pandemik ini merubah cara kita melihat sarwajagat, jadilah insan peduli ummah, ringan membantu orang lain, menyintai petunjuk Rabbani, berteleku memohon keampunan Tuhan dan bercermin diri. Entah ini Ramadan terakhir buat kita teman-teman! Jom meriahkan Ramadan dengan alunan Al Quran. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -