Bekalan beras Program Beras Sejahtera cukup

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan beras untuk Program Beras Sejahtera mencukupi seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan, Pembasmian Kemiskinan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, setakat ini pihak pembekal memberi kerjasama yang baik.

Katanya, beras bagi program berkenaan diperuntukan kepada 36 Dun di seluruh Kedah.

“Setakat ini Program Beras Sejahtera berjalan lancar malah kita mendapat kerjasama yang baik dengan pembekal,” katanya ketika melawat Kilang Beras ADZ di Kubang Rotan, kelmarin.

- Advertisement -

Kilang terbabit memproses dan membungkus Beras Sejahtera sebelum diagih kepada pembekal.

Menurutnya juga syarikat pembekal memberi jaminan bekalan seperti yang dikehendaki kerajaan negeri berjalan lancar.

Beliau juga berkata, ada Adun mencadangkan supaya menukar beras dengan pulut sempena Ramadan dan perkara itu juga dipersetujui pembekal.

“Alhamdulillah proses pembungkusan sangat baik dan memuaskan. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih Kilang Beras ADZ yang memberi kerjasama baik,” katanya yang juga Adun Merbau Pulas.

Program Beras Sejahtera mula diperkenalkan pada Oktober 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.1 juta.

Agihan beras itu bermula dengan 50 kampit setiap bulan, dan mulai Januari 2021 kuantitinya bertambah kepada 100 kampit dan sekarang 150 kampit bagi setiap Dun.

Sumbangan bulanan kepada penerima daripada kalangan B40 di 36 Dun dan turut disertakan barangan keperluan harian menjadikan jumlah keseluruhan RM50 setiap keluarga.

Beras Sejahtera dan barangan keperluan harian itu diedar melalui Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR Dun dan Pejabat Penyelaras Dun. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -