Patuh SOP penting elak wabak makin menular

- Advertisement -

PASIR MAS: Penularan pandemik Covid-19 di Kelantan dibimbangi makin menular sekiranya pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) diabaikan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, gelombang keempat wabak Covid-19 di negara ini khususnya di Kelantan amat mencabar sekarang.

Katanya berlaku pertambahan kes harian positif yang begitu ketara sekarang.

“Selangor diakui lebih tinggi berbanding Kelantan, tetapi didapati kes di negeri itu dikatakan melalui single family.

- Advertisement -

“Tetapi Kelantan terkena kepada kelompok yang luas kerana dipercayai individiu yang disyaki positif bergerak ke banyak tempat tempat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Pusat Kesihatan Daerah Pasir Mas, hari ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan komputer riba, mesin pencetak, canopy dan ‘smart phone’ di mana kesemuanya bernilai RM15,000 kepada pusat kesihatan terbabit.

Ahmad Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia bimbang penularan wabak Covid-19 menjadi lebih serius sekiranya orang ramai tidak mematuhi SOP.

Oleh itu beliau merayu setiap anggota masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membantu kerajaan melandaikan wabak tersebut.

“Kita sepatutnya menghargai pengorbanan dan kerja keras petugas barisan hadapan terutamanya Kementerian Kesihatan yang terpaksa bertungkus lumus membendung wabak tersebut.

Sementara itu Kelantan hari ini mencatat sebanyak 523 kes baharu dan menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri itu sebanyak 12,967 kes.

Anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin berkata, terdapat peningkatan jumlah kes harian Covid-19 memandangkan wabak terbabit sudah berada dalam komuniti.

“Jangan hadir tempat yang sesak. Terus patuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama. Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -