LARUT: Prihatin terhadap beban terpaksa ditanggung enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak yang dikenakan kompaun RM1,500 membawa anggota Exco kerajaan negeri menangani masalah tersebut.
Pelajar terbabit didenda atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika berada di kampus, menarik perhatian banyak pihak sebelum ini.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Pengarah Kesihatan Negeri dan Pegawai Kesihatan Kampar bagi menangani masalah tersebut.
“Saya berjumpa dengan Pegawai Kesihatan Kampar dan berbincang dengan Pengarah Kesihatan Negeri, jadi pelajar-pelajar berkenaan tidak perlu membayar apa-apa pun,” katanya seperti dilapor media semalam.
Pada 19 April lalu tular di media sosial pelajar matrikulasi dikenakan kompaun RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka di kawasan kolej.
Mohd Akmal yang juga Adun Selama berkata, keputusan yang dicapai itu dianggap sebagai langkah terbaik bagi membantu pelajar berkenaan yang merupakan golongan asnaf.
Katanya beliau turut berjumpa dengan sala seorang bapa pelajar terlibat dengan memberi komitmen kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya pelajar terbabit diputuskan tidak dikenakan sebarang bayaran selepas mereka mengemukakan rayuan pengurangan bayaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Oleh itu beliau meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Isu serupa turut diviral di Kelantan semalam apabila peniaga burger dan colek disaman kerana dikatakan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka disaman sebanyak RM50,000 seorang kerana melanggar SOP iaitu berniaga melebihi masa yang ditetapkan sehingga jam 10 malam.
Berikutan itu Pemuda PAS Kelantan tampil membantu ketika kedua-dua peniaga terbabit membuat rayuan bagi mengurangkan kadar denda di Jabatan Kesihatan Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 28/4/2021