SOP dua darjat mesti dihentikan segera!

- Advertisement -

SEJAK akhir-akhir ini saya baca ramai anak muda yang mengadu di media sosial mengenai ‘SOP dua darjat’ antara kluster kayangan dan rakyat biasa. ‘SOP dua darjat’ ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah menggariskan SOP yang lengkap untuk dijadikan rujukan rakyat.

Tetapi di mana silapnya? Ada ruang untuk agensi penguatkuasaan kita tersalah tafsir? Saya memohon agar semua pemegang taruh yang bertanggungjawab menggariskan SOP ini dapat duduk bersama dan membincangkan dengan serius masalah ini.

- Advertisement -

‘SOP dua darjat’ ini mesti dihentikan segera! Buat semua agensi penguatkuasaan, bertindaklah dengan tegas dan telus serta menggunakan budi bicara yang penuh hikmah kepada semua pesalah (tanpa mengira darjat) terutamanya pada mereka yang dengan sengaja melanggar SOP.

Saya yakin rakyat bersedia untuk mematuhi SOP semaksimum mungkin namun rakyat tidak boleh menerima apa jua bentuk pelaksanaan hukuman serta layanan terpilih. Saya merayu agar pihak berwajib dapat mempercepatkan proses siasatan ke atas kes-kes ketidakpatuhan SOP khususnya kes yang bersifat menggusarkan rakyat dan menyebabkan terhakisnya keyakinan rakyat kepada kerajaan. 

Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

‎فقالَ إنَّما أهْلَكَ الَّذينَ من قبلِكُم أنَّهم كانوا إذا سَرقَ فيهم الشَّريفُ ترَكوهُ وإذا سرقَ فيهم الضَّعيفُ أقاموا عليهِ الحدَّ. وأيمُ اللَّهِ ! لَو أنَّ فاطمةَ بنتَ محمَّدٍ سرَقَت لقطعتُ يدَها

“Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.”

(Riwayat Tirmizi (1430))

Dalam pertarungan kita membendung COVID-19 ini, kepercayaan dan sokongan rakyat adalah amat penting dan kritikal. Saya yakin kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk memutuskan rantaian COVID-19. Tetapi jika kita terus membiarkan isu ‘SOP dua darjat’ serta ketidakadilan ini berterusan kita mungkin akan menemui titik kegagalan!

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -