KUALA LUMPUR: Peranan seniman dilihat mampu memberikan sumbangan besar kepada rakyat bagi menjernihkan kemelut politik negara ketika ini.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Pahang, Dr Ilyas Abdullah berkata, polemik politik negara mampu dikendurkan dengan hasil karya sumbangan para seniman.
“Seniman harus tampil memberikan sumbangan seni dan budayanya dengan harapan dapat membantu ke arah menjernihkan masyarakatnya yang sedang keliru dengan situasi politik yang tidak menentu.
“Seniman tidak harus meminggirkan dirinya saat masyarakat sedang berada dalam masalah,” ujar beliau dalam satu tulisannya.
Menurutnya, seniman wajar berperanan sebagai penggerak dalam melahirkan modal insan yang berjiwa besar yang sayang akan negaranya.

Dalam masa yang sama, tambah beliau lagi, penggerak seni juga seharusnya peka dan tidak terpengaruh dengan sebarang gerakan parti politik dalam menghasilkan sesuatu karya.
“Tindakan seorang seniman yang bertindak menghina logo sebuah universiti awam yang tersohor dengan menggantikannya dengan logo seekor katak serta menghina institusi beraja atas nama satira politik merupakan suatu kelumpuhan moral yang serius.
“Seniman tidak harus menjadi orang politik, kelak akan memusnahkan keindahan seni itu sendiri.
“Seniman juga tidak harus menjadikan kebebasan bersuara acuan barat sebagai kiblat untuk berkarya. Satira politik harus mengikut acuan kebudayaan kita,” tegas beliau.
Bagaimanapun katanya, penggunaan unsur satira dalam seni untuk memulihkan moral elit politik boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk tetapi tidak melanggar nilai dan adat ketimuran.
“Unsur satira seperi memerli, menyindir dan jenaka mampu sampai kepada masyarakat meskipun dengan cara jenaka yang tidak keterlaluan.
“Maka tidak hairanlah, filem Melayu lama termasuk arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sarat dengan satira berbaur lucu dan lembut, tetapi cukup kuat menampar bukan sahaja realiti zamannya, bahkan sehingga kini,” ujarnya.
Oleh yang demikian katanya, dalam seni juga perlu diselitkan nasihat serta teguran dan disampikan tanpa menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat.
Ilyas turut menyifatkan peranan seniman dalam situasi politik ketika ini mampu mengembalikan suasana ke arah yang lebih positif.
“Seniman boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti dengan melibatkan elit-elit politik ke dalam bentuk persembahan kerana banyak pengajaran boleh diambil daripadanya.
“Secara tidak langsung seniman mampu mengajak elit politik dan masyarakat beristirahat sebentar daripada kemelut politik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!