Pameran RDPT suku pertama 2021 mulai esok

Foto hiasan.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku pertama 2021 (ST1/2021) selama 14 hari bermula esok hingga 11 Mei ini di 908 tempat pameran RDPT di seluruh negara.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata RDPT itu mengandungi 52,382 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 19,679 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar telah memohon dalam tempoh antara 1 Januari hingga 31 Mac 2021.

- Advertisement -

“Semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam RDPT ST1/2021. Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST1/2021, mereka boleh membuat tuntutan melalui borang B.

“Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST1/2021 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian, dengan mengisi borang C,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut SPR, borang B dan borang C boleh dimuat turun di portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi kawasan pendaftaran berkenaan pada waktu pejabat hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu.

Semakan RDPT ST1/2021 boleh dibuat melalui beberapa kaedah iaitu hadir ke 908 tempat pameran RDPT ST1/2021 di seluruh negara dan mengimbas kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan; melayari portal rasmi pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri; hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan dan menyemak buku RDPT ST1/2021 yang disediakan; dan melayari portal rasmi SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau membuat semakan melalui aplikasi MySPR Semak.

Menurut SPR, semasa tempoh Pameran RDPT ST1/2021, nama-nama pemilih yang dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 akan dipamerkan.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST1/2021 boleh menghubungi talian utama SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri. – BERNAMA

- Advertisement -