Orang ramai diseru derma darah di bulan Ramadan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kutipan darah di Pusat Darah Negara (PDN) pada minggu pertama Ramadan hanya 59 peratus daripada sasaran kutipan mingguan, manakala kutipan di Suite Derma Darah Puspanitapuri Putrajaya hanya mencapai 32.8 peratus.

Jumlah ini membimbangkan kerana setiap 43 saat, satu beg darah diperlukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan hari ini, PDN berkata seramai 500 sehingga 600 orang penderma diperlukan setiap hari bagi memastikan keperluan untuk menyelamatkan nyawa pesakit dipenuhi.

Bekalan stok darah negara perlu sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah seperti kes kemalangan, pembedahan dan juga rutin seperti pesakit thalasaemia.

Untuk membantu usaha ini, PDN mempelawa organisasi menganjurkan kempen derma darah bergerak secara berkala, selain menjemput pendermaan berkumpulan ke pusat pendermaan statik PDN di Jalan Tun Razak, PDN Donation Suite Midvalley Megamall atau Suite Derma Darah Puspanitapuri, Presint 10 Putrajaya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial PDN atau hubungi talian 03-2613 2777. – BERNAMA

- Advertisement -