Exco tinjau operasi cari mangsa bot terbalik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi menyelamat seorang lagi mangsa bot terbalik, Zulshahmi Danial Zulazman.

Anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin berkata, mangsa berusia 26 tahun itu belum lagi ditemui.

Katanya anggota keselamatan berusaha untuk mencari dan menyelamat mangsa di mana sekarang masuk hari ketiga.

- Advertisement -

“Nelayan-nelayan tempatan juga turut membantu anggota Bomba dan Penyelamat dalam proses mencari mangsa.

“Kita pakat doakan semoga mangsa terbabit segera ditemui dan kerja-kerja pencarian dan menyelamat oleh pasukan Bomba dipermudahkan Allah Taala,” ujarnya selepas melawat Pusat SAR di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar semalam.

Baru-baru ini dua daripada tiga pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik dan karam akibat dipukul ombak di perairan Kuala Besar, ditemui selamat pada Ahad lalu.

Mat Awang @ Jali, 54, dan Mat Harun Mohd Nor, 55, dijumpai pemancing kira-kira 10 batu nautika dari Jeti LKIM berdekatan lokasi kejadian pada jam 3 petang.

“Alhamdulillah dua mangsa ditemui selamat Ahad lalu di Pantai Sabak selepas hampir 19 jam terapung di lautan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -