Budi bicara VS ‘bahasa senapang’

- Advertisement -

IRAQ amat jarang menggunakan budi bicara dalam menyelesaikan isu dan permasalahan. Mungkin kerana mereka adalah rakyat sebuah negara ketenteraan yang berdepan dengan konflik peperangan bagi suatu tempoh yang panjang. Sehingga biasa kita dengar ungkapan, orang Iraq hanya memahami bahasa senapang dan bahasa kereta kebal. Bahasa lidah kurang difahami.

Tinggal lama bersama mereka, saya merasakan dari hati kecil bahawa kawan-kawan Iraq merindukan suasana masyarakat yang ada tolak ansur dan budi bicara. Bukan semua perkara mesti diputuskan secara kekerasan ala diktator.

- Advertisement -

Jiwa ini juga yang saya bawa balik. Sedaya yang mampu, selagi ada ruang perbincangan maka penggunaan budi bicara, itu adalah pendekatan yang masih menjadi pilihan. Peraturan adalah sesuatu yang telah tertulis tetapi pelaksanaannya ada ruang dan penilaian yang luas untuk dimanfaatkan. 

Pernah terdengar ungkapan dari pegawai kerajaan bila kita minta mereka lebih berhemah ketika berhadapan dengan rakyat, ‘YB ini nak jaga rakyat dia, peraturan dia letak tepi.’ Tak apalah, suatu hari nanti saya harap mereka akan belajar perbezaan antara ‘letak tepi’ dengan penggunaan ‘budi bicara’. 

Contohnya, kalau seorang peniaga gerai tepi jalan dalam kampung dikenakan kompaun RM1,000 kerana kesalahan berniaga tanpa lesen di musim PKP sedangkan dalam masa yang sama tiada SOP PKP yang dilanggar, hanya salahnya kerana tiada lesen, maka bagi saya ia penguatkuasaan yang betul tapi dibuat pada masa yang salah. 

Sudah bertahun rakyat dibiarkan berniaga di situ tanpa lesen dalam keadaan tiada penguatkuasaan. Mari PKP, ketika rakyat tengah tersepit lantaran pelbagai sekatan yang dilalui, ketika inilah leher mereka dicekik pula. Tentu sekali saya sebagai wakil rakyat perlu tegur walau dalam masa yang sama saya berada di Dewan Negeri yang menggubal undang-undang dan peraturan. Ini hanya suatu contoh yang pernah kita dilalui untuk menjelaskan apa makna budi bicara dan kita telah selesaikan kes ini dengan baik. 

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -