Beri kerjasama lengkapkan Banci Malaysia 2020

- Advertisement -

KUANTAN: Jabatan Perangkaan Malaysia memohon kerjasama semua pihak untuk membantu usaha kerajaan dalam melengkapkan Banci Malaysia 2020 yang dijangka berakhir 64 hari lagi.

Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi) Datin Seri Rozita Talha berkata setakat ini hanya sebanyak 16.6 juta atau 50.9 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk negara ini yang berjaya dibanci.

- Advertisement -

“Terdapat hampir separuh penduduk yang masih belum dibanci dan dengan itu saya memohon rakyat memberikan kerjasama mengisi borang e-Census atau melayan pembanci kami dengan memberikan maklumat tepat.

“Tempoh Banci 2020 sudah hampir tamat dan kita perlu melengkapkannya dengan sempurna. Proses bancian yang sepatutnya selesai Julai tahun lalu telah tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.

“Kita mengambil berat soal ini kerana data yang dikumpul ini bakal digunakan untuk perancangan setiap tempat, daerah dan negeri dan penggubalan dasar,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Program Turun Padang Banci Malaysia 2020 bersama Pembanci Kuantan di Perumahan Indera Mahkota 21 di sini hari ini.

Program turun padang itu diadakan bagi memantau pelaksanaan operasi Banci Malaysia 2020 secara bersemuka di lapangan dan membuat publisiti terhadap pelaksanaan banci secara bersemuka.

Rozita yang juga Timbalan Pesuruhjaya Banci 2020 berkata sehingga kini seramai 10,000 tenaga pembanci digerakkan di seluruh negara untuk melengkapkan proses bancian yang diadakan setiap 10 tahun sekali ini.

“Banci secara bersemuka ini telah dijalankan secara bersasar di kawasan terpilih sejak tamat PKP 2.0 dan diteruskan sehingga Jun 2021 termasuk semua tempat kediaman di Pahang.

“Di Pahang, jumlah tempat kediaman yang selesai dibanci melebihi 51.9 peratus daripada anggaran 444,000 tempat kediaman yang mewakili seramai 664,400 orang daripada 1.7 juta penduduk negeri ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -