Apa tak kena Kerajaan PN yang ada sekarang?

KERAJAAN PAS Terengganu telah dan sedang melaksanakan lebih daripada 13 Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), daripada 20 janji manifesto yang ditawarkan kepada rakyat Terengganu meskipun bukan ‘Kitab Suci’.

Advertisement

Malah, komitmen kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan terhadap pengundi Automatik Usia 18 Tahun masih jelas, cuma perlu diberi ruang dan masa yang secukupnya kepada pihak SPR.

Mengulas isu-isu politik semasa tanahair secara ringkasnya, Penolong Pengarang Berita Negeri Harakah, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD, berpeluang menemubual Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali di Pejabatnya, Tingkat U2, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Soalan: Secara kolektifnya, Terengganu antara negeri yang selalu menjadi perbualan rakyat dalam melunaskan janji Manifesto PRU14, walaupun ianya bukan ‘Kitab Suci’. Bolehkah Dato’ kongsi sedikit perkembangan manifesto Kerajaan PAS Terengganu yang terkini?

Dato’ Yahaya: Ini bukan soal isu ‘kitab suci’ tetapi kita orang Islam bila berjanji kena tunaikan. Kita tidak boleh main-main dalam perkara ini sebab manifesto yang ditawarkan adalah hasil kajian mendalam kita dari segi kebolehlaksanaannya.

Secara kebetulan saya turut menganggotai Jawatankuasa Pelaksanaan Manifesto yang dipengerusikan bersama oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan dan ahli Exco YB Dato’ Tengku Hassan. Kalau tidak salah ingatan saya hingga kini kerajaan telah melaksanakan 13 dari 20 janji manifesto kepada rakyat.

Saya fikir rakyat negeri ini tahu apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Saya tak nak sentuh satu persatu sebab ia akan memakan masa. Baki tujuh lagi janji manifesto yang sedang dalam proses pelaksanaan dan sebahagiannya menunggu masa pelancaran dalam waktu terdekat ialah;

a) Wad kelas ketiga ‘percuma’ di semua hospital kerajaan.

b) Mengadakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam milik negeri bagi menggantikan KUSZA.

c) Menubuhkan Pusat Pemulihan Dadah secara holistik.

d) Mengadakan Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat (pinjaman tanpa faedah) dengan peruntukan RM50 juta setahun

e) Mewujudkan Bandar Baru Lestari di setiap daerah.

f) Pencen Rakyat RM50 sebulan (RM600 setahun) bagi warga emas yang layak

g) Menambah keluasan tanah rezab Melayu dari 118 hektar kepada 1,000 hektar.

Insya-Allah kerajaan akan berusaha melunaskan semua janji ‘manifesto’ ini sebelum pilihan raya umum akan datang. Tetapi tidak dinafikan, ada setengah-setengah manifesto yang telah dilaksanakan memerlukan masa yang lebih lama untuk disempurnakan secara sepenuhnya seperti isu tanah terkilan, rumah kediaman, Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) setiap DUN, Sekolah Menengah Islam (SMIDI) setiap Parlimen dan pembinaan bandar lestari setiap Daerah.

Isu pengundi automatik berusia 18 kembali hangat setelah kenyataan yang dikeluarkan oleh Speaker Dewan Negara (Tan Sri Dr Rais Yatim) berkenaan negara kita masih belum bersedia untuk melaksanakan pindaan pengundi 18 tahun ini. Boleh Dato’ kongsikan pandangan sedikit berkenaan perkara ini?

Apabila kerajaan (sewaktu zaman PH) meluluskan Pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen iaitu umur mengundi diturunkan dari 21 tahun kepada 18 tahun dan ke atas dengan majoriti dua pertiga dan turut disokong oleh parti-parti pembangkang ia menjadi tanggungjawab bersama. Oleh sebab itu, saya berpendapat isu sama ada umur 18 tahun matang atau tidak untuk menjadi pengundi tidak wajar lagi dijadikan ‘polemik’.

Banyak juga negara-negara luar yang memberi peluang kepada golongan muda berumur 18 tahun ini sebagai pengundi. Kita perlu menghormati hak mereka untuk mengundi dan membuat keputusan. Apa yang penting proses pendidikan yang berterusan perlu diberikan kepada golongan ini.

Yang pertamanya, sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) menjadi undang-undang (Akta) di Parlimen selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Dewan Negara, Yang di-Pertuan Agung dan digazetkan.

Pelaksanaan kepada perkara ini sudah tentu memerlukan masa dan persiapan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini. Saya difahamkan antara perkara yang menjadi kekangan SPR ialah untuk meminda Akta dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya, supaya dapat diselaraskan dengan pindaan terbaru dan juga melibatkan pendaftaran pengundi secara automatik bila berumur 18 tahun, yang memerlukan kerjasama dan komitmen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Saya fikir kita seharusnya memberi peluang dan masa yang secukupnya kepada pihak SPR.

Satu lagi isu yang ada kaitan dengan perkara ini ialah bila PRU15 akan diadakan? Kalau PRU diadakan dalam waktu terdekat, saya tak nampak pengundi muda 18 tahun boleh menggunakan hak mereka dengan kekangan yang saya sebutkan tadi.

Isu yang lebih besar ialah selamatkah rakyat negara ini dari penularan Covid-19, sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengadakan PRU dalam waktu terdekat mengikut amalan biasa. Pengalaman Pilihan Raya Neger (PRN) di Sabah sudah cukup memberikan pengajarannya.

Bagaimana Dato’ melihat senario politik pada hari ini terutama sikap Umno untuk tidak meneruskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas pembubaran Parlimen nanti. Dan dalam konteks hubungan Umno dengan PAS di Terengganu dikatakan agak ‘dingin’ dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan PAS ‘digambarkan’ tidak jujur dengan Umno terutama dalam isu peruntukan dan agihan kerusi pilihan raya kelak. Komen Dato’ sendiri?

Ini soalan yang sepatutnya diajukan kepada kepimpinan PAS Pusat dan negeri (Terengganu). Mereka yang lebih ada maklumat. Kalau saya boleh jawab, saya cuma nak tanya apa yang tak kena kepada kerajaan PN yang ada sekarang?

Bukankah kuasa yang dimiliki oleh kerajaan yang ada sekarang iaitu di bawah wadah kerjasama parti-parti politik Islam-Melayu yang merupakan suatu anugerah dan rahmat dari Allah SWT. Lebih-lebih lagi dengan tidak bersusah payah melalui pilihan raya pun akibat masalah dalaman dan keruntuhan yang berlaku dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sepatutnya kita bersyukur dengan apa yang ada pada kita dan membina asas yang lebih kuat untuk meneruskan kerjasama di kalangan parti-parti yang mendukung kerajaan PN sekarang. – HARAKAHDAILY 27/4/2021
(TEMUBUAL PENUH DISIARKAN DI DALAM AKHBAR HARAKAH)