Apa motif sibuk desak Parlimen bersidang?

KUALA LUMPUR: Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh mempersoalkan motif di sebalik tindakan pihak tertentu mendesak kerajaan membuka Parlimen serta membatalkan pengisytiharan darurat.

Menurut beliau, walaupun perkara itu mampu untuk dilaksanakan dengan kawalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan syarat-syarat tertentu, namun ia masih menimbulkan persoalan mengapa pembangkang begitu terdesak.

“Masalahnya untuk apa? Itu persoalan paling besar. Kenapa ahli parlimen sibuk hendak mendesak untuk diadakan sidang Parlimen?

“Adakah hanya kerana sekarang ini PN dikatakan mempunyai majoriti yang amat tipis ataupun sudah tidak cukup majoriti kalau Parlimen bersidang?

Advertisement

“Sibuk mendesak. Untuk apa sebenarnya mendesak diadakan sidang Parlimen? Ini yang kita hendak tahu sebenarnya. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?” soalnya.

Tambah Mohd Fuad, sepatutnya dalam situasi negara hari ini, ahli-ahli parlimen sama ada daripada pembangkang mahupun kerajaan duduk bersama membincangkan solusi untuk mengurangkan kenaikan kes penularan Covid-19.

Apatah lagi, dilaporkan Malaysia berkemungkinan berdepan mutasi baharu selain bakal menghadapi gelombang baharu, katanya.

“Ini yang sepatutnya dibuat. Bukan hanya mengejar hendak bercakap dalam Parlimen. Kalau hanya bukan hendak menonjolkan diri, memang sudah tidak ada cara lain dah, contohnya Anwar Ibrahim.

“Kalau tak ada sidang Parlimen, dia tidak dapat hendak membuktikan bahawa dia ada sokongan. Padahal sudah diberi peluang pun sebelum ini, (dan terbukti) tiada sokongan juga.

“Ini yang kita amat risau, nampak ahli-ahli politik Malaysia ini tidak matang. Yang penting impian peribadi dia tercapai. Rakyat nombor dua. Itu yang saya nampaklah,” tegasnya.

Tambahnya lagi, tindakan kerajaan mengisytiharkan darurat sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban serta membantu kabinet menumpukan perhatian kepada kerja-kerja kementerian.

Namun, sekiranya peluang tersebut tidak dimanfaatkan sebaik mungkin, ia akan menjadi ruang untuk rakyat terus mendesak kemudian menghukum kerajaan ketika pilihan raya umum (PRU) nanti.

Beliau dalam masa sama turut menasihatkan kerajaan agar bertindak dengan lebih berhati-hati dalam pelbagai perkara termasuk isu peniaga burger dikompaun RM50,000 baru-baru ini.

Jelasnya, dengan prestasi sebahagian kementerian hari ini, banyak ruang telah diberi kepada pembangkang untuk terus menghentam kerajaan.

Selain itu, beliau turut menyarankan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tarikh PRU lebih awal supaya setiap parti politik, termasuk parti daripada kerajaan sendiri dapat menjalankan serta melancarkan persiapan lebih awal. – HARAKAHDAILY 27/4/2021