Usahawan PKS perlu daftar harta intelek untuk lindungi perniagaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap perniagaan tercetus daripada sebuah idea, dan realitinya kebanyakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk di Malaysia senantiasa mencari peluang perniagaan baharu serta berusaha untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

Sehubungan dengan itu, Hari Harta Intelek Sedunia adalah antara platform terbaik untuk usahawan mengetahui lebih lanjut bagaimana satu-satu idea itu boleh ditukar menjadi harta intelek atau Intellectual Property (IP), selain memahami peranan penting yang dimainkan oleh IP dalam mendorong inovasi dan kreativiti sesebuah perniagaan.

IP adalah hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta, simbol, nama dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan, karya sastera dan seni, manakala, hak IP pula pemilikan seseorang usahawan ke atas IP tersebut.

- Advertisement -

Tema sambutan, “Harta Intelek & Keusahawanan: Dari Idea ke Pasaran”, diharap dapat mendorong  usahawan PKS untuk mendaftar produk mereka sebagai IP, kerana IP yang didaftarkan boleh dijadikan aset terpenting yang mampu mendorong perkembangan ekosistem dunia perniagaan, pemulihan ekonomi serta kemajuan insani.

Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Datuk Mohamad Alamin ketika dihubungi Bernama baru-baru ini berkata, perniagaan PKS merangkumi sekitar 90 peratus perniagaan di seluruh dunia, dan menggunakan sekitar 50 peratus tenaga kerja global serta mampu menjana hingga 40 peratus pendapatan nasional sesebuah negara.

Namun ironinya, tambah beliau, masih ramai usahawan PKS khususnya di Malaysia tidak menyedari bahawa mereka boleh menggunakan IP dan segala haknya untuk membina perniagaan yang lebih kuat, kompetitif dan berdaya tahan terutamanya bagi mendepani cabaran pandemik Covid-19 yang menjejaskan teruk ekonomi dunia.  

Enam komponen

Menurut Mohamad, IP mengandungi enam komponen, iaitu Paten, Cap Dagangan, Reka Bentuk, Petunjuk Geografi, Hak Cipta dan Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu.

Menjelaskan satu persatu komponen berkenaan, beliau berkata Paten adalah hak eksklusif yang diberikan kepada suatu rekacipta sama ada produk atau proses untuk menghasilkan cara baharu bagi membuat sesuatu ataupun untuk penyelesaian teknikal terhadap sesuatu masalah.

Cap dagangan pula, kata beliau, adalah tanda yang terdiri daripada nama, tandatangan, perkataan, huruf, angka atau apa-apa gabungannya yang boleh membezakan sesuatu barangan atau perkhidmatan antara satu perniagaan dengan perniagaan yang lain.

“Reka bentuk perindustrian ialah rupa bentuk luaran secara keseluruhan sesuatu barang atau produk yang menarik dipandang. Contoh, rekabentuk unik atau corak pada baju, tudung, juga bentuk botol serta pembungkusan. Manakala Petunjuk geografi adalah tanda yang digunakan ke atas sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan.

“Hak Cipta ialah satu hak eksklusif yang diberikan untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Contoh karya ialah seperti buku, lirik lagu, filem, rakaman lagu, lukisan dan lain-lain lagi.

“Manakala, Rekabentuk Susun Atur Litar Bersepadu adalah suatu susunan tiga dimensi unsur sesuatu litar bersepadu yang mengandungi sebahagian atau semua unsur hubungan litar bersepadu atau keseluruhan susunan tiga dimensi disediakan untuk tujuan persediaan bagi proses perkilangan,” jelasnya.

Beliau menambah, setiap komponen IP ditadbir Akta tersendiri seperti Akta Cap Dagangan 2019, Akta Paten 1983 serta Akta Hakcipta 1987, yang mana ianya diselia pihak MyIPO.

Mohamad turut menegaskan, sesuatu produk yang dihasilkan perlulah didaftarkan terlebih dahulu di MyIPO bagi melindungi ia daripada ditiru oleh pihak lain.

Menurut beliau, mendaftar di MyIPO bagi mendapatkan hak eksklusif terhadap produk ciptaan turut membuktikan seseorang pencipta itu benar-benar serius untuk menjana pendapatan daripada hasil ciptaannya.

Beliau turut mengingatkan, pencipta inovasi sebaiknya perlu mengelak daripada memasarkan produknya atau mendedahkannya terlebih dahulu kepada pihak ketiga sebelum ianya dipatenkan bagi mengelak daripada produk tersebut ditiru oleh pihak lain.

Kesedaran perlu dipertingkat

Namun begitu, isu yang terus membelenggu dunia perniagaan PKS ialah tahap kesedaran yang masih rendah di samping kurang ilmu pengetahun tentang kelebihan pendaftaran IP dalam kalangan pengusaha yang menjadi salah satu faktor utama mengapa mereka tidak mendaftarkan IP mereka.

Usahawan PKS, jelas Mohamad lagi, masih menganggap bahawa perlindungan IP hanyalah suatu pilihan dan kurang menitikberatkan soal perlindungan inovasi atas faktor ianya ‘tidak wajib’.

“Mereka tidak sedar IP mereka terdedah kepada risiko diciplak, lebih malang lagi pihak yang menciplak itu mendaftar pula ia sebagai IP mereka,” katanya.

Mohamad turut berkongsi statistik MyIPO 2018-2020 yang menunjukkan, kadar peratusan permohonan IP menurun daripada 24,245 permohonan (2019) kepada hanya 20,101 (2020).

Begitu juga permohonan daripada warga asing, iaitu dari 31,941 (2019) kepada 30,797 (2020).

Permohonan IP tempatan dilihat masih rendah berbanding trend permohonan di rantau Asia Tenggara, dan ianya turut terkesan berikutan penularan Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini, dengan MyIPO mengehadkan pemfailan IP secara dalm talian sahaja.

“Selain itu, pemain industri di Malaysia belum melihat sejauh mana kepentingan perlindungan IP kepada kemajuan perniagaan mereka. Oleh itu, MyIPO akan meneruskan kempen kesedaran dan bimbingan mengenai hak IP untuk merancakkan permohonan IP,” katanya sambil menambah, ada usahawan yang salah anggap bahawa pendaftaran IP adalah mahal, walhal realitinya kos sebenar pendaftaran IP amatlah berpatutan.

Beliau memberikan contoh pendaftaran cap dagangan, yang mana usahawan hanya perlu mengeluarkan belanja sekali sahaja sebanyak RM950 untuk tempoh 10 tahun. Ini bermakna, cap dagangan atau tanda niaga mereka bakal dilindungi undang-undang selama 10 tahun dan ia boleh diperbaharui selepas tempoh itu.

“Pendaftaran pula adalah mudah dan boleh dibuat oleh pelanggan secara manual di kaunter khidmat pelanggan MyIPO atau secara dalam talian di iponline2u.myipo.gov.my,” katanya.

Menjelaskan mengenai proses selepas sesuatu IP didaftarkan, Mohamad berkata satu pemeriksaan akan dibuat pihaknya bagi menentukan ianya adalah baharu dan belum dimiliki mana-mana pihak, selain turut mematuhi akta IP.

“Sekiranya lulus, MyIPO akan mewartakan IP tersebut di Warta Kerajaan dan Jurnal Rasmi Harta Intelek, seterusnya akan mengeluarkan sijil kepada pemunya IP tersebut. Pemilik sah sesuatu IP boleh mengambil tindakan undang-undang sama ada jenayah atau sivil sekiranya mendapati ada pihak menyalahguna IP mereka,” jelasnya.

Terus bertahan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy memberitahu Bernama, adalah penting untuk para usahawan menitikberatkan pelan perniagaan jangka pendek dan juga pelan jangka panjang.

Beliau menjelaskan, ia bagi memastikan hak serta keaslian produk atau perkhidmatan mereka mampu terus bertahan di pasaran dan tidak mudah ditiru oleh usahawan lain.

Menurut beliau, pihaknya masih lagi meneruskan aktiviti memberi kesedaran berkenaan IP melalui pelbagai saluran supaya usahawan mengetahui hak mereka, di samping menggalakkan golongan usahawan mendaftarkan IP untuk melindungi perniagaan mereka dalam jangka masa panjang.

Beliau menambah, antara usaha SME Corp Malaysia untuk terus meningkatkan kesedaran PKS mengenai IP adalah menerusi sesi bual bicara ‘Soal Usahawan’, hebahan di media sosial, taklimat serta khidmat nasihat perniagaan yang disediakan oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp Malaysia.

“Bantuan kewangan yang disediakan juga turut meliputi skop pensijilan dan pendaftaran IP melalui program seperti Business Accelerator Programme (BAP), Program Peningkatan Keupayaan PKS Bumiputera (BEEP), Program Inovasi Inklusif, Program Galakan Eksport Bumiputera hinggalah kepada program permulaan perniagaan seperti Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang membolehkan usahawan memohon geran bagi melaksanakan aktiviti berkaitan pendaftaran harta intelek.

“Selain itu, portal maklumat secara dalam talian di smeinfo.com.my yang dikendalikan SME Corp Malaysia juga mengandungi maklumat berkenaan IP. Ini sebahagian daripada peranan kami sebagai Agensi Penyelaras Pusat PKS dalam menyalurkan maklumat mengenai program pembangunan PKS, termasuk inisiatif yang melibatkan pendaftaran IP,” katanya. – BERNAMA

Artikel ini sempena sambutan Hari Harta Intelek Sedunia yang disambut pada 26 April setiap tahun. Tema sambutan di Malaysia tahun ini ialah “Harta Intelek & Keusahawanan: Dari Idea Ke Pasaran”.

- Advertisement -