PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti-parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 yang belum reda sepenuhnya.
Dalam hal ini kerajaan ingin menarik perhatian semua pihak bahawa langkah pengawalan dan pencegahan wabak merbahaya ini masih berterusan dengan seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan.
Di samping itu pihak penguatkuasa terutama PDRM, ATM, Imigresen, RELA dan lain-lain masih bertungkus lumus menjaga perbatasan negara dari dibolosi pendatang asing yang turut membawa risiko penularan COVID-19 dari negara luar.
Kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan (constitutional responsibilities) untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen, namun keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan Ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.
Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai sama ada sebelum ataupun selepas Darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 nanti. Namun demikian perkara ini akan bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperolehi oleh Kerajaan dari semua pihak yang berkenaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
Semasa Darurat berkuatkuasa, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada Kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan, termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa Darurat.
Dalam masa yang sama, tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa kerana sistem Kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira- kira Wang Awam (PAC).
Justeru semua pihak diseru supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada Kerajaan dalam usaha giatnya demi memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial.
DATUK SERI TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)
26 April 2021 – HARAKAHDAILY 26/4/2021