Semarak Kasih Ramadan sinari Beting Maro

SIBU: Sebanyak 96 penerima manfaat di bawah Program Semarak Kasih Ramadan menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur seperti beras, minyak, telur dan kurma di sekitar Kampung Tambak, Kampung Pusa, dan Kampung Beladin, Beting Maro, semalam.

Agihan sumbangan tersebut merupakan usaha Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak di bawah bagi membantu penduduk setempat yang terjejas akibat dariapda pandemik Covid-19 yang masih tidak terkawal.

Mereka yang menerima terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU), terlantar sakit, dan warga emas

Advertisement

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batang Lupar, Mahani Mumtaz, ziarah ini bertujuan untuk membudayakan amalan ziarah-menziarahi sepertimana yang dianjurkan di dalam Islam dan bagi memastikan penduduk setempat mendapat bekalan keperluan dapur yang dapat membantu mengurangkan sedikit beban mereka pada ketika ini.

Katanya, Program Semarak Kasih Ramadan merupakan satu inisiatif Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak untuk menziarahi dan menyampaikan pemberian sumbangan keperluan dapur kepada penduduk setempat.

“Program Semarak Kasih Ramadan merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak bagi membantu penduduk sekitar khususnya dalam menjalani kehidupan harian mereka dalam keadaan dunia sedang dilanda pandemik Covid-19″ ujar Mahani.

Turut hadir di dalam program berkenaan ialah Ketua Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Kawasan Batang Lupar, Husna Saadah.

Aktiviti ziarah dan serahan sumbangan berjalan lancar di samping pematuhan tatacara operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu. – HARAKAHDAILY 26/4/2021