Pelajar tahfiz bertadarus di pusat kuarantin

KOTA BHARU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah Covid-19 (PKRC), Kompleks Belia Dan Sukan Panji agak berbeza berbanding dengan PKRC lain di Kelantan.

PKRC terbabit yang baharu beroperai Sabtu lepas sering bergema alunan bacaan al Quran kerana turut ditempatkan pelajar dari Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong.

Foto pelajar bertadarus dan solat di PKRC tersebut turut dikongsi Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Katanya pelajar terbabit menjalani proses rawatan di PKRC terbabit.

Advertisement

“Doakan semoga mereka semua diberikan kesihatan yang sebaiknya oleh Allah dan dapat pulih secepat mungkin bagi meneruskan pengajian mereka yang tertangguh,” katanya.

Manakala Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan lapan kluster baharu di seluruh negara semalam yang membabitkan kluster di tempat kerja dan sektor pendidikan.

Jabatan Kesihatan Kelantan pula melaporkan terdapat satu kluster di Kelantan semalam iaitu Kluster Halban Dua yang melibatkan 32 kes baharu.

Menurutnya laman sosial jabatan terbabit terdapat pertambahan 116 kes positif di kluster sedia ada iaitu 36 kes di Kluster Jalan Hospital,
23 kes di Kluster Jalan Kota Kubang Labu, 14 kes di Kluster Gong Dermin.

Selain itu 11 kes di Kluster Pulai Chondong, 11 kes di Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, 8 kes di Kluster Kok Lanas, 5 kes di Kluster Kampung Labok.

Turut dilaporkan 4 kes di Kluster Kampung Domis, 3 kes di Kluster Tembok Pengkalan Chepa dan 1 kes di Kluster Jalan Stadium Empat.

Kesemuanya melibatkan 33 kluster yang aktif di Kelantan.

Oleh Jabatan Kesihatan Negeri menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan iaitu elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang jarak yang dekat.

“Amalkan 3W iaitu wash, wear dan warn serta patuhlah prosedur operasi standard (SOP) sebagai normal baharu,” kata kenyatan terbabit. – HARAKAHDAILY 26/4/2021