Tahanan merusuh tidak dapat pulang sambut Aidilfitri

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sekumpulan tahanan yang ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal di sini merusuh pagi tadi dipercayai kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Aidilfitri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata siasatan awal mendapati insiden itu hanya berlaku di sebuah blok depoh berkenaan dan tiada kecederaan atau kejadian tahanan melarikan diri.

- Advertisement -

“Keadaan dapat dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.

“Ini bukan kejadian pertama kerana pada tahun 2015, iaitu dua hari sebelum Hari Raya, kejadian sama berlaku,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih menyiasat kejadian itu termasuk tahanan yang terlibat.

Katanya penghantaran pulang tahanan imigresen ke negara asal ketika ini berdepan kekangan akibat Covid-19. – BERNAMA

- Advertisement -