PDRM rampas ganja, syabu bernilai RM4.4 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dua sindiket pegedaran dadah berjaya ditumpaskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas merampas ganja dan syabu bernilai RM4.4 juta menerusi dua serbuan berasingan yang dilakukan di Kota Bharu dan Tanah Merah.

- Advertisement -

Dalam serbuan yang dilakukan di dua lokasi di Kota Bharu berjaya merampas sebanyak 393 kilogram (kg) dadah jenis ganja pada Selasa lalu.

Manakala, syabu seberat 100kg turut dirampas semalam hasil operasi yang dilakukan sepasukan pegawai dari Bukit Aman dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan.

Menerusi serbuan berkenaan, polis turut menahan tujuh individu termasuk tiga perempuan berusia 27 hingga 51 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato’ Razarudin Husain berkata, serbuan pertama membabitkan sebuah rumah taman dan berhampiran hotel jam 8 malam.

Serbuan yang dilakukan hasil daripada intipan pihak polis selama tempoh sebulan setengah itu katanya, telah membawa kepada penahanan empat individu termasuk dua perempuan berusia 31 hingga 50 tahun.

Katanya, hasil serbuan berkenaan, PDRM berjaya merampas 393 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM982,000 yang boleh digunakan seramai 786,000 individu.

“Bekalan dadah yang diperoleh dari Thailand itu dipercayai untuk dihantar ke Johor bagi menembusi pasaran Indonesia. Keempat-empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Sindiket berkenaan menggunakan lori muatan perabot untuk menghantar bekalan terbabit bagi mengaburi daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Tanah Merah pada jam 9.30 pagi semalam yang membawa kepada rampasan syabu sebanyak 100 kg bernilai RM3.6 juta.

Polis turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia 27 hingga 39 tahun.

Tambah beliau, sindiket berkenaan juga cuba mengguna taktik mengubah suai kenderaan pacuan empat roda jenis Mistubishi Triton dengan membuka lantai untuk menyimpan 100 paket syabu.

“Bekalan terbabit dipercayai untuk dihantar ke Kuala Lumpur yang boleh digunakan untuk 1 juta penagih,” katanya.

Tambah beliau, hasil rampasan kedua-dua dadah itu dijangka untuk kegunaan 1.7 juta individu sekiranya gagal dirampas.

Dalam masa sama, kesemua individu yang ditangkap dalam serbuan terbabit adalah warga tempatan yang berperanan sebagai orang tengah dengan mengambil upah membawa bekalan berkenaan.

“Kita percaya upah yang diterima mereka adalah lumayan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Justeru itu katanya, pihak Polis khususnya JSJN akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan. – HARAKAHDAILY 25/4/2021

- Advertisement -