MN Setiawangsa agih 3,000 bubur lambuk

KUALA LUMPUR: Aktiviti ukhuwah dan kebajikan diteruskan Muafakat Nasional Setiawangsa walaupun umat Islam penat menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan.

Advertisement

Sebanyak 12 periuk bubur lambuk disediakan secara gotong royong dan 3,000 bekas bubur diagihkan kepada masyarakat sekitar Parlimen Setiawangsa.

Aktiviti bubur lambuk ini cukup sinonim dalam kalangan penduduk di sini bagi menyemarakkan lagi ukhuwah Islamiyah.

Program ini dianjurkan bersama oleh PAS Kawasan Setiawangsa dan Umno Bahagian Setiawangsa buat julung kalinya bagi menyantuni masyarakat dalam masa yang sama memperkukuhkan muafakat yang dimeterai pada 14 September 2020 yang lalu.

Pimpinan PAS Setiawangsa turut turun padang bagi mengacau bubur dan mengedarnya yang diketuai oleh Yang Dipertua, Tuan Haji Abdul Halim Hassan, Timbalan Yang Dipertua, Tuan Kamisan Sujak, Naib Yang Dipertua, Dr Zuraini Hashim, Ketua Penerangan, Ustaz Ubaid Hj Akla, Ketua Pemuda, Ustaz Anas Fitri, Ketua Muslimat Hajjah Zaidah dan ahli ahli PAS yang lain.

Turut bersama penganjuran ini Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, Dato’ Sri Izudin Ishak, Timbalannya Dato’ Mohd Irwan Rizal, Naibnya Encik Yusaini Amir, Setiausaha Bahagian, Dato’ Alias Hamzah, Ketua Pemuda Encik Roshan, Ketua Wanita Puan Seriwani Sabtu dan Ketua Puteri Puan Maziayatul serta ahli ahli Umno Bahagian Setiawangsa.

Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan tugasan rewang memasak dan membungkus bubur lambuk. Proses pengagihan dilakukan selepas solat Zohor sehingga selesai kepada wakil wakil Persatuan Penduduk yang hadir. Bubur lambuk juga diagihkan di bazar Ramadan berdekatan kepada orang ramai.

Program ini berjaya diadakan dengan objektif ditetapkan dan diharap akan berterusan pada program program akan datang. – HARAKAHDAILY 25/4/2021